JAZMIN Paez, 18, ditangkap pada Selasa dan didakwa atas tuduhan berhubung pembunuhan peringkat pertama. FOTO NBC
JAZMIN Paez, 18, ditangkap pada Selasa dan didakwa atas tuduhan berhubung pembunuhan peringkat pertama. FOTO NBC
Agensi

Miami: Seorang ibu di Florida ditahan selepas cuba mengupah seorang pembunuh upahan di laman web parodi untuk membunuh anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

Metro UK melaporkan, Jazmin Paez, 18, ditangkap pada Selasa dan didakwa atas tuduhan berhubung pembunuhan peringkat pertama.

Menurut Polis Miami-Dade, kejadian itu bermula apabila Paez menghubungi pemilik laman web rentahitman.com, meminta seseorang untuk 'menguruskan' anaknya yang berusia tiga tahun.

Namun, rentahitman.com adalah palsu. Operasinya dijalankan sebagai laman web parodi yang dimiliki oleh seorang lelaki California bernama Bob Innes yang menggunakan nama Guido Fanneli di platform itu.

Menurut polis, Paez mengisi semua butirannya dalam rentahitman.com dengan maklumat yang betul termasuk alamat dan tarikh lahir tetapi menggunakan nama samaran Daphne.

Dalam borang dalam talian, Paez didakwa menyatakan bahawa dia mahu mengupah seseorang untuk membawa anaknya 'jauh' daripada kehidupan dan dengan kadar segera.

Dia juga dilaporkan menghantar gambar dan lokasi anaknya itu itu tinggal.

Polis di Miami berkata, mereka menerima laporan daripada Innes pada 6.18 petang dan susulan itu, detektif dihantar ke rumah Paez untuk melakukan siasatan.

Pegawai Maklumat Awam Polis Miami-Dade, Alvaro Zabaleta, memberitahu bahawa detektif yang dihantar ke rumah Paez itu menyamar sebagai pembunuh upahan yang bekerja untuk laman web rentahitman.com.

"Suspek secara praktikal mengaku apa niatnya dan apa yang dia mahu lakukan.

"Kami juga gembira bahawa Innes sebagai pemberi maklumat, sudah melakukan perkara yang betul. Ia berdasarkan pengalamannya, dia tahu bahawa sesuatu permintaan yang benar," kata Zabaleta.

Stesen tempatan NBC6 dipetik melaporkan, Paez menawarkan pegawai yang menyamar itu AS$3,000 (kira-kira RM13,658) untuk pekerjaan itu.

Sebelum tengah malam pada hari sama, detektif menyamar sebagai pembunuh upahan tiba di rumah Paez, sebelum wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Paez didakwa atas pertuduhan menuntut pembunuhan peringkat pertama.

Dia dibebaskan selepas membayar bon AS$15,000 (kira-kira RM68,294) dan diarahkan untuk tidak berhubung dengan anaknya.

Polis mengesahkan Jabatan Kanak-Kanak dan Perkhidmatan Keluarga Florida juga sedang menyiasat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:38 PM