Pemandangan langit Manhattan dilihat di seberang Sungai Hudson. FOTO APF
Pemandangan langit Manhattan dilihat di seberang Sungai Hudson. FOTO APF
Bernama-UPI

Washington: Beberapa agensi Amerika Syarikat memberi amaran kepada orang ramai di kawasan Timur Laut supaya mengelak daripada menyedut asap daripada kebakaran hutan Kanada yang menyelubungi udara buat hari ketiga berturut-turut pada Khamis selain mengganggu perjalanan.

Jabatan Tenaga dan Alam Sekitar (DOEE) di Washington mengeluarkan amaran kualiti udara dan menasihatkan orang ramai di kawasan yang terjejas supaya tidak keluar rumah.

"Hari ini kualiti udara sangat tidak sihat. Orang awam mungkin mengalami kesan kesihatan dan kumpulan sensitif mungkin mengalami masalah kesihatan yang lebih serius.

"Beberapa impak berpotensi ialah serangan jantung, degupan jantung yang tidak teratur, asma yang semakin teruk serta penurunan fungsi paru-paru.

"Setiap orang perlu berada di dalam rumah sebanyak mungkin, terutama kumpulan sensitif seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan orang yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru seperti asma dan bronkitis," lapor UPI memetik ciapan DOEE pada Khamis.

Di New York, Gabenor Kathy Hochul mengumumkan rancangan untuk menyediakan kira-kira satu juta pelitup muka N95 kepada penduduk.

Amaran kualiti udara dikeluarkan sekurang-kurangnya di 20 negeri, dari selatan Massachusetts hingga ke Missouri.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menangguhkan penerbangan dari beberapa lapangan terbang kerana asap.

"Jarak penglihatan berkurangan akibat asap kebakaran akan terus memberi kesan kepada perjalanan udara hari ini. Kami mungkin perlu mengambil langkah untuk mengurus aliran trafik dengan selamat ke New York City, D.C., Philadelphia dan Charlotte, N.C.," memetik akaun Twitter FAA.

FAA turut menangguhkan sementara penerbangan ke Philadelphia kerana jarak penglihatan yang rendah.

Beberapa acara yang dijadual berlangsung di New York juga dibatalkan, termasuk tiga rancangan Broadway dan konsert Chris Stapleton.

Sekolah-sekolah di New York mengumumkan kelas pada Jumaat dijalankan secara jarak jauh.

Di kawasan Washington, perlawanan besbol pada Khamis antara Washington Nationals dan Arizona Diamondbacks ditangguhkan. Rumah Putih pula menangguhkan acara Bulan Kebanggaan sehingga Sabtu.

Menteri Kesiapsiagaan Kecemasan Kanada Bill Blair berkata kira-kira 9.4 juta ekar hutan terbakar, menyebabkan sekurang-kurangnya 26,000 orang terpaksa dipindahkan.

Presiden Joe Biden dan Hochul bersama pegawai di New Hampshire dan Maine, menghantar anggota bomba ke Kanada untuk membantu usaha memadamkan kebakaran.

Pakar meteorologi kanan AccuWeather Brett Anderson berkata Quebec dan Nova Scotia mencatat rekod bermusim baharu dari segi jumlah tanah yang terbakar ketika musim kebakaran hutan.

"Bagi Kanada, jumlah ekar kawasan yang terbakar sehingga awal Jun melepasi purata 10 tahun untuk keseluruhan musim. Kita tidak semestinya melihat lebih banyak kebakaran dengan perubahan iklim, tetapi kebakaran yang lebih besar yang meliputi banyak kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 12:52 PM