RAYYANAH Barnawi (dua dari kanan) tiba di ISS. FOTO Nasa TV/ Reuters
RAYYANAH Barnawi (dua dari kanan) tiba di ISS. FOTO Nasa TV/ Reuters
AFP

Washington: Kapsul SpaceX pada Isnin berjaya membawa dua angkasawan Arab Saudi berlabuh di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), dalam misi persendirian Axiom Space.

Mereka adalah Rayyanah Barnawi yang menjadi saintis wanita pertama Arab Saudi ke angkasa dan juruterbang pejuang terlatih, Ali Al-Qarni.

"Salam dari angkasa lepas, saya di sini bukan sahaja mewakili diri saya tetapi mewakili harapan dan impian semua orang di tanah air dan rantau ini," kata Barnawi.

Selain mereka, bekas angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), Komander Peggy Whitson dan ahli perniagaan Amerika, John Shoffner, turut menyertai misi itu.

Whitson yang berpengalaman tiga kali ke angkasa lepas berkata, ia perjalanan yang hebat dan seronok selain teruja untuk menyelesaikan misi.

Selepas kira-kira dua jam berlabuh, mereka memasuki ISS dan menyertai tujuh angkasawan lain iaitu masing-masing tiga warga Rusia dan Amerika Syarikat serta seorang angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sudah berada di stesen berkenaan.

SpaceX berlepas dari Florida pada Ahad dan perjalanan ke ISS sejauh 400 kilometer dari bumi itu mengambil masa kira-kira 16 jam.

Misi yang dinamakan Ax-2 itu adalah misi persendirian sepenuhnya kedua untuk melawat ISS selepas yang pertama pada April 2022.

Ahli Ax-2 akan tinggal kira-kira 10 hari dan menjalankan kira-kira 20 eksperimen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 10:38 AM