ROKET membawa empat angkasawan misi Ax-2 dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, selatan Florida. FOTO Reuters
ROKET membawa empat angkasawan misi Ax-2 dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, selatan Florida. FOTO Reuters
AFP

Cape Canaveral, Amerika Syarikat: Misi peribadi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) anjuran Axiom Space berlepas dari sini pada Ahad, membawa dua angkasawan Arab Saudi yang pertama untuk pergi ke makmal angkasa lepas itu.

Rayyanah Barnawi, seorang penyelidik barah payudara akan menjadi wanita Saudi pertama yang ke angkasa lepas dan ditemani rakan senegara yang juga juruterbang jet pejuang, Ali Al-Qarni.

Kru Axiom Mission 2 (Ax-2) berlepas dengan roket SpaceX Falcon 9 dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, selatan Florida, pada 5.37 petang waktu tempatan.

Pasukan itu juga termasuk Peggy Whitson, bekas angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) yang akan menyertai penerbangan keempatnya ke ISS, dan John Shoffner, ahli perniagaan dari Tennessee yang akan berkhidmat sebagai juruterbang.

Mereka akan menghabiskan masa kira-kira 10 hari di ISS, dan dijangka tiba kira-kira 1.30 tengah hari, pada Isnin.

"Menjadi angkasawan wanita Arab Saudi pertama, mewakili rantau ini, adalah satu keseronokan dan penghormatan yang mengujakan," kata Rayyanah pada sidang media, baru-baru ini.

Tambahnya, selain teruja untuk menjalankan penyelidikan di ISS, Rayyanah tidak sabar untuk berkongsi pengalaman dilalui dengan kanak-kanak semasa berada di ISS.

"Dapat memandang wajah mereka mereka (kanak-kanak) ketika (mereka melihat angkasawan dari tempat mereka buat kali pertama adalah sangat mendebarkan," katanya.

Ia bukanlah misi pertama Arab Saudi ke angkasa lepas kerana pada 1985, Putera Sultan Salman Abdulaziz, seorang juruterbang tentera udara, mengambil bahagian dalam pelayaran angkasa lepas anjuran AS.

Bagaimanapun, misi angkasa lepas yang membabitkan seorang wanita Arab Saudi adalah langkah terbaru kerajaan di rantau Negara Teluk yang kaya dengan minyak itu, di mana wanita hanya mendapat hak untuk memandu beberapa tahun lalu, dalam usaha merombak imej ultra konservatifnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 11:14 AM