POLIS bergegas ke lokasi kejadian. FOTO Agensi
POLIS bergegas ke lokasi kejadian. FOTO Agensi
BRANDON Jacobs. FOTO Agensi
BRANDON Jacobs. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang lelaki di Louisiana, Amerika Syarikat (AS) bukan mengaku membunuh pemandu Uber, malah menyiarkan rakaman selepas melakukan perbuatan itu di Facebook (FB).

Mirror UK melaporkan, polis berkata, Brandon Jacobs, 29, mengaku membunuh pemandu Uber, Yolanda Dillion, 54.

Dillion maut selepas ditikam dari tempat duduk belakang keretanya.

Jacobs kemudian ditangkap di dalam sebuah hotel dan pihak berkuasa mengesyaki dia menikam pemandu Uber sebelum tiba di destinasi dituju, membuat rakaman selepas kejadian dan memuat naik video itu di FB.

Sebaik tiba di hotel berkenaan, Jacobs terus masuk ke bilik yang sebelum itu ditempahnya.

Dillion dilaporkan meninggal dunia selepas menerima tempahan ke hotel, Travelodge by Hotel Wyndham New Orleans West Harvey, pada Disember lalu.

Mangsa bekerja untuk Jabatan Polis New Orleans (NOPD) sebagai pentadbir belanjawan dan Superintendan Shaun Ferguson berkata, rakan sekerja agak sukar menerima berita kematiannya

"Pasukan kami menghadapinya dengan agak sukar.

"Dia akan sangat dirindui. Dia sangat pendiam dan merendah diri. Dia amat bermakna kepada jabatan ini," kata Ferguson.

Syerif Joseph Lopinto mengesahkan kematian Dillion dalam sidang media dan berdasarkan pengakuan, Jacobs memberitahu polis yang dia membunuh seseorang 'secara rawak'.

"Hasil soal siasat, Jacobs menyatakan yang dia bangun pagi (pada hari kejadian) dan mahu membunuh seseorang dan memutuskan itu akan menjadi harinya.

"Kami bertanya kepadanya secara khusus: 'Bagaimana kamu memilihnya?'. Jawapannya ialah 'Saya tidak memilihnya, Uber memilihnya'."

"Dia (mangsa) adalah orang rawak (pemandu Uber) menjemputnya hari itu," kata Lopinto.

Polis dipanggil ke tempat kejadian sejurus sebelum 3 petang selepas menerima laporan.

Dillion ditemukan dengan beberapa kesan tikaman dan dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia akibat parah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 2:43 PM