GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Ottawa: Health Canada pada Jumaat meluluskan dos penggalak bivalen Pfizer-BioNTech Comirnaty Omicron BA.4/BA.5 digunakan ke atas kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, lapor Xinhua.

Ia adalah dos penggalak Covid-19 bivalen pertama yang dibenarkan ke atas kumpulan itu bagi membendung strain Covid-19 asal dan subvarian Omicron BA.4/BA.5, menurut Health Canada dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Health Canada membenarkan suntikan penggalak bivalen digunakan terhadap individu berusia 12 tahun ke atas pada 7 Oktober 2022, menurut kenyataan itu.

Walaupun formulasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah sama, dos yang dibenarkan hanya satu pertiga daripada dos bagi individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Berdasarkan semakan saintifik yang menyeluruh, Health Canada menyimpulkan bahawa suntikan penggalak bivalen bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah selamat dan berkesan.

Vaksinasi terus menjadi antara langkah berkesan melindungi keluarga dan komuniti daripada Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 3:15 PM