Reuters

San Francisco: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk yang juga individu terkaya dunia membatalkan perjanjian $44 bilion bagi pembelian Twitter Inc.

Pengumuman dibuat semalam mendakwa syarikat media sosial itu melanggar beberapa terma perjanjian penggabungan.

Susulan itu, Pengerusi Twitter, Bret Taylor berkata, lembaga syarikat merancang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menguatkuasakan perjanjian penggabungan berkenaan.

"Lembaga Twitter komited untuk menutup transaksi pada harga dan terma yang dipersetujui dengan Musk," katanya.

Saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu apabila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.

Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 (RM158) seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Musk mula dipertikaikan dan semalam, saham Twitter jatuh lagi kepada AS$37 (RM164) seunit.

Dalam pemfailan, peguam Musk berkata, Twitter telah gagal atau enggan menjawab pelbagai permintaan berkaitan maklumat akaun palsu atau spam di platformnya yang merupakan asas kepada prestasi perniagaan syarikat.

"Twitter melanggar banyak peruntukan perjanjian, membuat representasi palsu dan mengelirukan yang mana Musk bergantung padanya apabila memasuki perjanjian penggabungan," kata pemfailan itu.

Musk juga menarik diri kerana Twitter memecat eksekutif berpangkat tinggi dan satu pertiga daripada pasukan pemerolehan bakat, yang dianggap melanggar kewajipannya untuk "memelihara komponen material organisasi perniagaan semasa".

Keputusan Musk berkemungkinan mengakibatkan pertelingkahan undang-undang berpanjangan antara jutawan itu dan syarikat berusia 16 tahun yang berpangkalan di San Francisco.

ILUSTRASI akaun Twitter Elon Musk. FOTO AFP.
ILUSTRASI akaun Twitter Elon Musk. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 11:07 AM