Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - FOTO AFP
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa beliau tidak akan kembali ke Twitter walaupun bidaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk untuk membeli laman web media sosial itu berjaya.

"Saya tidak akan menggunakan Twitter, saya akan kekal di Truth," kata Trump kepada Fox News, merujuk kepada syarikat media sosial yang diasaskan Trump selepas diharamkan daripada platform itu berhubung rusuhan Capitol 6 Januari.

"Saya harap Elon membeli Twitter kerana dia akan membuat penambahbaikan padanya dan dia seorang lelaki yang baik, tetapi saya akan kekal di Truth," katanya seperti yang dilaporkan oleh Anadolu Agency.

Komen itu hadir ketika Twitter petang semalam mengumumkan bahawa ia telah menerima tawaran AS$44 bilion (RM191.62 bilion) daripada Musk.

Syarikat media sosial itu dalam satu kenyataan berkata, ia telah memeterai perjanjian muktamad untuk diambil alih oleh entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Musk, di mana pemegang saham Twitter akan menerima wang tunai AS$54.20 (RM236.05) bagi setiap saham biasa yang mereka miliki.

"Harga pembelian mewakili premium 38 peratus kepada harga penutupan saham Twitter pada 1 April 2022, yang adalah hari dagangan terakhir sebelum Musk mendedahkan kira-kira 9 peratus kepentingannya dalam Twitter," kata kenyataan itu.

Twitter akan menjadi syarikat milik persendirian selepas perjanjian itu dimuktamadkan.

Musk telah berjanji untuk menjadikan Twitter sebagai syurga untuk bebas bersuara jika tawarannya berjaya.

Trump telah diharamkan daripada Twitter pada 8 Januari 2021, dua hari selepas penyokong bekas presiden itu menyerbu Capitol AS dalam usaha yang gagal untuk menghalang pelantikan Presiden AS, Joe Biden.

Twitter berkata ia mengambil tindakan yang sangat jarang berlaku iaitu melarang seorang pegawai yang bertanding dalam pilihan raya "kerana risiko hasutan keganasan selanjutnya."

Trump juga dilarang daripada Facebook, Instagram dan Snapchat atas sebab yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 6:18 PM