KASUT milik Michael Jordan yang dilelong dengan harga RM6.2j. FOTO Sotheby’s.
KASUT milik Michael Jordan yang dilelong dengan harga RM6.2j. FOTO Sotheby’s.

New York: Sepasang kasut milik pemain bola keranjang terkenal Michael Jordan, pada awal kariernya, dijual pada harga AS$1.5 juta (kira-kira RM6.2 juta), Ahad lalu.

Kasut itu menjadi barangan sukan dengan nilai tertinggi yang berjaya dilelong menurut syarikat lelongan, Sotheby's.

Kasut berwarna putih jenama Nike itu dipakai pemain ikonik terbabit ketika bersama Chicago Bull.

"Kasut sniker paling berharga ditawarkan dalam lelongan ini adalah milik Michael Jordan yang dipakainya pada 1984.

"Ia berjaya dijual dalam satu jualan mewah di Las Vegas," kata syarikat lelongan itu menerusi Twitter.

Harga lelongan itu berjaya mengatasi rekod dipegang sepasang kasut Nike Air Jordan yang dijual pada harga AS$615,000 (kira-kira RM2.5 juta) dalam lelongan dikendalikan syarikat lelongan lain iaitu Christie's.

Sepasang Nike Air Yeezy 1 yang dipakai Kanye West pula dijual pada harga AS$1.8 juta (kira-kira RM7.4 juta) pada April lalu, dalam satu jualan persendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:15 AM