BELAKANG badan Funky Matas dipenuhi tatu tandatangan.
BELAKANG badan Funky Matas dipenuhi tatu tandatangan.
Agensi

Miami: Pempengaruh media sosial di Florida, Funky Matas kini memegang rekod dunia kerana memiliki tatu tandatangan paling banyak di belakang badannya.

Antaranya, tatu tanda tangan selebriti seperti Will Smith dan Gerard Butler.

Funky atau nama sebenarnya Juan Matas yang bekerja sebagai artis tatu tampil dengan idea itu bagi mencari kelainan.

Dia kemudian mendapat idea untuk mencacah tatu tandatangan di belakang badannya.

Funky pada permulaannya akan meminta ahli keluarga dan rakannya untuk menurunkan tandatangan di belakang badannya.

Tidak lama selepas itu, dia turut mencari ramai selebriti untuk berbuat perkara yang sama.

Dia kemudian akan mencacah tandatangan di belakang badannya untuk dijadikan tatu kekal.

Setakat ini, dia sudah mencacah 225 tatu tandatangan di belakang badannya.

"Kebanyakan orang tahu mengenai idea gila saya dan saya akan membuat sesuatu yang luar daripada jangkaan sesiapa.

"Setakat ini, tiada sesiapa yang mencuba untuk membuat perkara sama seperti yang saya lakukan," katanya.

Antara tatu tandatangan selebiriti lain yang sudah dicacah adalah Elijah Wood, Michael J Fox, Christopher Lloyd dan Steve-O.

Dia turut mencacah tandatangan individu dengan karakter ikonik seperti aktor alih suara bagi kartun Sponge Bob dan lelaki yang memainkan watak Darth Vader dalam filem Star Wars.

"Saya tidak akan sesekali menyesal dengan apa yang dilakukan, walaupun saya dan pemilik tandatangan itu tidak lagi bercakap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:30 AM