Penunjuk perasaan merosakkan bangunan parti Demokrat di Portland. FOTO Agensi
Penunjuk perasaan merosakkan bangunan parti Demokrat di Portland. FOTO Agensi
Agensi

Salem: Sekumpulan perusuh merosakkan bangunan ibu pejabat parti Demokrat di Portland, Oregon pada Khamis.

Insiden itu berlaku pada hari pertama Joe Biden bertugas sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46.

Pihak berkuasa tempatan berkata, seramai 150 penunjuk perasaan berarak di Portland dan membawa papan tanda menentang Biden.

Menurutnya, sebahagian penunjuk perasaan itu mula bertindak ganas dan merusuh dengan memecahkan tingkap dan menconteng di dinding bangunan ibu pejabat Demokrat berkenaan dengan simbol anarkis.

Media tempatan melaporkan, setakat semalam seramai lapan individu ditahan dan mereka bakal berdepan tuduhan mencetuskan rusuhan, melakukan jenayah, menganggu tugas polis dan vandalisme.

Dalam perkembangan sama, lebih 100 individu dilaporkan berarak di Seattle dengan sebahagian daripada mereka bertindak memecahkan tingkap cermin mahkamah persekutuan.

Kumpulan itu mendesak supaya Penguat kuasa Kastam dan Imigresen (ICE) dibubarkan selain turut membakar bendera AS.

Situasi di bandar itu tegang sejak pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd oleh pegawai polis kulit putih di Minneapolis, Minnesota yang mencetuskan gerakan Black Lives Matter di seluruh AS.

Lebih daripada 100 hari berturut-turut penunjuk perasaan berarak dan merusuh di kawasan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 8:45 AM