Agensi

Bogota: Tentera Laut Colombia menemui dua mayat dan hampir tiga tan kokain di dalam sebuah kapal selam di Lautan Pasifik di luar pantai Colombia, baru-baru ini.

Pasukan itu turut menemui dua individu yang masih selamat dan dalam keadaan lemah, lapor CBS News.

Kapten Tentera Laut Colombia, Cristian Andres Guzman Echeverry berkata, mereka ditemukan lemah kerana berkemungkinan terhidu asap toksik yang disebabkan oleh masalah bahan api di dalam bot.

"Kapal selam sepanjang kira-kira 15.24 meter itu membawa 2,630 kilogram kokain yang bernilai lebih AS$87 juta (kira-kira RM390 juta).

"Kapal berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara di Amerika Tengah.

"Rampasan itu menghalang lebih enam juta dos kokain ke pasaran haram," katanya dalam kenyataan video, pada Ahad.

Menurutnya, lelaki terbabit diselamatkan, manakala dua mayat serta dadah dirampas dibawa ke Tumaco.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan oleh Kor Siasatan Teknikal Pejabat Peguam Negara.

Dalam kenyataan sama, ia turut menyiarkan gambar rampasan kapal selam itu dan anggota mengangkut bungkusan serta mayat keluar dari kapal.

Echeverry berkata, Tentera Laut Colombia akan meneruskan usaha menghentikan penyeludupan dadah.

Tahun lalu, pasukan terbabit merampas sebuah kapal separa tenggelam yang membawa empat tan kokain bernilai kira-kira AS$150 juta (kira-kira RM672 juta).

Pada 2019, sebuah kapal selam yang membawa lebih lima tan kokain bernilai lebih AS$165 juta (kira-kira RM739 juta) dirampas oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat.

KAPAL selam membawa hampir tiga tan kokain itu diserbu Tentera Laut Colombia. FOTO Tentera Laut Colombia
KAPAL selam membawa hampir tiga tan kokain itu diserbu Tentera Laut Colombia. FOTO Tentera Laut Colombia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 12:19 PM