PELANCONG terkandas yang berjalan kaki dari Machu Picchu ke Chilca selepas jalan raya dan landasan kereta api ditutup. FOTO REUTERS
PELANCONG terkandas yang berjalan kaki dari Machu Picchu ke Chilca selepas jalan raya dan landasan kereta api ditutup. FOTO REUTERS
BERNAMA

Bogota: Seramai 5,000 pelancong dilaporkan terkandas sejak Rabu di Cusco, Machu Picchu, susulan pergolakan politik di Peru, lapor Agensi Anadolu.

"Kami bimbang kerana terdapat pelancong kanak-kanak dan orang tua yang terpaksa berjalan kaki selama lapan hingga 10 jam dari Machu Picchu, kata Datuk Bandar Machu Picchu, Darwin Baca kepada media tempatan.

Baca meminta sokongan daripada kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan helikopter bagi mengangkut pelancong yang terkandas.

Cusco International iaitu lapangan terbang ketiga terbesar di negara itu, ditutup sejak Isnin akibat penunjuk perasaan cuba menyerbu terminal berkenaan.

Perkhidmatan kereta api turut dihentikan pada Selasa dari dan ke Machu Picchu.

Krisis itu tercetus susulan penahanan bekas Presiden Pedro Castillo hingga mencetuskan gelombang protes ganas yang menyebabkan 18 orang terbunuh setakat ini, menurut Menteri Kesihatan Rosa Gutierrez.

Jalan raya dan landasan kereta api telah dihalang dengan batu, kayu balak dan tayar manakala lapangan terbang telah ditutup,

Castillo ditahan pada minggu lalu selepas cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri untuk mengelakkan pemecatan atas dakwaan rasuah.

Penunjuk perasaan menuntut pembebasan Castillo, peletakan jawatan Presiden baharu Dina Boluarte dan pilihan raya baharu.

Boluarte mengisytiharkan darurat di seluruh negara selama 30 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 11:43 AM