BAYI yang dikatakan mati diberi rawatan selepas didapati masih hidup.
BAYI yang dikatakan mati diberi rawatan selepas didapati masih hidup.
Agensi

Rio de Janeiro: Mati hidup semula. Itu yang berlaku kepada seorang bayi yang dilahirkan pramatang di sebuah hospital di Brazil.

Ketika dia sedang diuruskan untuk pengebumian selepas disahkan meninggal dunia, pengurus mayat mendapati bayi itu merengek dan jantungnya masih berdegup, lapor 7news.com.mau.

Bayi itu dilahirkan tiga bulan pramatang di sebuah rumah di Rondonia pada 27 Disember, lapor akhbar tempatan G1.

Ibunya yang baru berusia 18 tahun itu langsung tidak sedar dia hamil.

Dia pergi ke hospital mengadu sakit dan mengalami pendarahan tetapi dihantar pulang oleh doktor.

Selepas melahirkan, ibunya membawa bayi itu kembali ke hospital, di mana dia diisytiharkan meninggal dunia ketika dilahirkan.

Seorang pengurus pengebumian kemudian mengambil bayi itu pada pagi berikutnya.

Bayi ajaib berkenaan dibawa ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal.

Neneknya berkata, cucunya itu bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.

"Dia banyak bergerak. Dia banyak menggerakkan kaki dan tangan serta degupan jantungnya sangat baik," katanya.

Nama doktor yang mengisytiharkan bayi itu mati, dan nama pengurus pengebumian belum didedahkan.

Nenek itu berkata, dia marah dengan pendekatan hospital.

"Saya marah kerana saya tidak nampak usaha untuk cuba selamatkan nyawa bayi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:01 AM