Nicki Minaj. FOTO fail AFP
Nicki Minaj. FOTO fail AFP
Agensi

Port of Spain: Menteri Kesihatan Trinidad dan Tobago, Terrence Deyalsingh menyifatkan dakwaan penyanyi rap terkenal, Nicki Minaj bahawa seorang individu di negara di kepulauan Caribbean itu mengalami testikal bengkak selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, sebagai palsu.

CNN melaporkan, Minaj yang dilahirkan di negara berkenaan mencetuskan kegusaran ramai dan perhatian dunia ketika memuat naik hantaran di Twitter mendakwa sepupunya di Trinidad menolak untuk mendapatkan vaksin kerana rakannya mati pucuk selepas menerima suntikan vaksin.

"Kemaluannya membengkak. Rakannya tinggal beberapa minggu lagi untuk berkahwin, kini teman wanitanya membatalkan perkahwinan," kata Minaj, yang mempunyai 22.6 juta pengikut Twitter, pada Isnin.

Pegawai kanan Covid-19 Amerika Syarikat (AS) dan Britain mengecam dakwaan dilemparkan Minaj itu.

Deyalsingh menyifatkan kenyataan selebriti yang tercalon dalam Anugerah Grammy itu sebagai membuang masa .

Ketika pemimpin berjuang untuk mengatasi penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin, beberapa selebriti berkongsi lebih banyak maklumat salah.

"Salah satu sebab mengapa kami tidak memberi maklum balas kepada Minaj kelmarin adalah kerana harus memeriksa dan memastikan kesahihan dakwaannya itu sama ada benar atau salah.

"Malangnya kami membuang banyak masa semalam untuk merungkai kesahihan dakwaan itu, " kata Deyalsingh.

Ketika disoal mengenai dakwaan Minaj, pakar penyakit berjangkit AS, Dr. Anthony Fauci mengatakan terdapat banyak maklumat palsu di laman sosial.

"Saya tidak menyalahkannya tetapi dia (Minaj) harus berfikir dua kali untuk menyebarkan maklumat yang tidak mempunyai asas," katanya.

Sementara itu, Minaj dalam ciapan berasingan menyatakan dia tidak sempat mencari maklumat tepat mengenai vaksin Covid-19 kerana perlu menghadiri acara Met Gala yang menghimpunkan ramai selebriti di Muzium Seni Metropolitan New York.

Minaj bagaimanapun menyatakan hasratnya untuk mengambil suntikan vaksin untuk mengadakan persembahan jelajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 10:00 AM