GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penyebar berita palsu berkaitan suntikan vaksinasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berikutan menimbulkan kebimbangan, kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.

Pakar perundangan, Prof Datuk Salleh Buang berkata, peruntukan akta berkenaan perlu dikuatkuasakan bagi membendung penularan maklumat atau berita tidak sahih berkaitan vaksinasi di media sosial.

"Undang-undang di bawah peruntukan Seksyen 211 dan 233 sebenarnya sudah mencukupi tetapi pelaksanaan, pendakwaan dan penguatkuasaan masih kurang.

"Dalam hal ini, tidak perlu meminda akta sedia ada sebaliknya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh gunakan peruntukan undang-undang itu kerana menyebarkan maklumat palsu atau sama ada menggugat ketenteraman awam atau buat orang bimbang itu pun sudah cukup besar (kesalahan)," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Selain itu katanya, tindakan perundangan sepatutnya menjadi pilihan terakhir serta menggalakkan usaha berterusan advokasi bagi mengubah mentaliti masyarakat terutama dalam menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

"Jangan terus hendak menjatuhkan hukuman, sebaliknya mungkin boleh perluaskan 'roadshow', hebahan di televisyen atau radio dengan memberi pendedahan atau nasihat supaya jangan buat macam itu (sebar berita palsu).

"Semak dululah kadang-kadang netizen ini terima (maklumat) terus sebar tanpa menyelidik kebenaran berita itu," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, KKM akan mempertimbangkan tindakan lebih tegas kepada penyebar maklumat tidak sahih dan berbaur fitnah mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja jika ia terus berlarutan berikutan boleh mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Katanya, buat masa ini KKM sedang memperhebatkan lagi usaha memberi pencerahan bagi menyangkal dakwaan tidak berasas yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, seorang aktivismendakwa lima remaja termasuk dua di Perak maut selepas disuntik vaksin Covid-19, namun Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mendedahkan punca kematian mereka disebabkan darah tinggi dan kencing manis serta jantung.

Selain itu, dakwaan kematian seorang remaja perempuan di Kedah yang dikaitkan dengan suntikan vaksin Covid-19 turut dinafikan

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo yang mendedahkan hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia disebabkan ruptured thoracic aneurysm.

PICK Remaja mula dilaksanakan pada 20 September lalu dengan mensasarkan 60 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan menjelang November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 10:17 PM