SEORANG lelaki merakam letusan Gunung Berapi Sinabung, di Karo, Sumatera Utara, hari ini.
SEORANG lelaki merakam letusan Gunung Berapi Sinabung, di Karo, Sumatera Utara, hari ini.
AFP

Jakarta: Gunung Berapi Sinabung di Sumatera Utara, kembali meletus lagi hari ini.

Ia menyebabkan asap tebal menjulang sejauh dua kilometer ke udara.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan teruk dilaporkan.

Jurucakap Pengurusan Bencana Kebangsaan, Raditya Jati berkata, susulan itu, pihaknya mengeluarkan amaran terhadap syarikat penerbangan.

"Ada kemungkinan lebih banyak letusan berlaku dan syarikat penerbangan perlu berjaga-jaga (dengan perkembangan ini)," katanya.

Jati berkata, pihak berkuasa juga sudah mengklasifikasikan kawasan lima kilometer di sekitar gunung itu sebagai tidak boleh dimasuki.

Selain itu katanya, semua pihak perlu berhati-hati dengan kemungkinan aliran lava.

"Penduduk juga diminta memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah untuk melindungi mereka daripada risiko kesihatan," katanya.

Pada Isnin lalu, gunung itu meletus pada 10.16 pagi (waktu Indonesia Barat.)

Asap serta abu itu melewati sekurang-kurangnya tiga kawasan di Karo menyebabkan langit gelap terutama di Namanteran yang terletak 5.2 kilometer dari gunung itu.

Ia kemudian menghala ke arah timur dan tenggara Pulau Sumatera.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Selepas 400 tahun, Gunung Sinabung meletus pada 2010, sebelum letusan seterusnya pada 2013.

Ia sekali lagi meletus pada 2014 mengorbankan 16 orang, manakala tujuh terkorban ketika letusan pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:17 PM