BERNAMA

Bangkok: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat orang yang hilang dari sebuah feri yang karam berdekatan pulau pelancongan popular di Koh Samui, Thailand pada Sabtu malam diteruskan hari ini.

Feri Raja 4 itu membawa 12 anak kapal dan empat pemandu - tiga lori roda 10 dan sebuah pacuan empat roda yang sarat dengan sampah - karam ketika laut bergelora selepas meninggalkan pelabuhan Koh Samui kira-kira 10 malam (waktu tempatan).

Sembilan diselamatkan berhampiran kapal, manakala dua lagi diselamatkan berhampiran sebuah pulau berdekatan pada Ahad.

Mayat seorang kapten dijumpai pada petang Ahad.

Pejabat Pencegahan dan Mitigasi Bencana Surat Thani berkata, SAR oleh pasukan tentera laut, polis dan pasukan penyelamat tempatan bersambung 8 pagi (waktu tempatan) hari ini.

"Pasukan mencari sudah menemukan tempat kapal itu karam," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Laut Witthaya Yamuang berkata sebuah panel sudah dibentuk untuk menyiasat kejadian berkenaan.

Menurutnya laporan akan dikeluarkan dalam tempoh 15 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 4:14 PM