Rakaman CCTV menunjukkan suspek ketika memecah masuk Muzium Australia.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek ketika memecah masuk Muzium Australia.
Agensi

Sydney: Seorang lelaki memecah masuk Muzium Australia di sini, sebelum dirakam bermain-main selama 40 minit di dalam ruang pameran bangunan berkenaan.

Apa yang menghairankan, lelaki terbabit dilihat amat gemarkan dinosaur apabila berulang kali menyentuh dan mengambil gambar replika atau bahan pameran haiwan prasejarah itu.

Daily Star melaporkan dalam kejadian jam 1 pagi, suspek tidak menyedari aksinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan dilihat turut menyentuh bahan pameran lain termasuk senapang.

Di satu bilik pameran, dia berhenti melihat kerangka dinosaur spesies tyrannosaurus rex atau lebih dikenali sebagai T-Rex.

Penceroboh itu memakai topi koboi coklat dipercayai milik seorang kakitangan juga dilihat merayau-raya di dalam muzium itu.

Melalui rakaman itu, suspek mendekatkan kepalanya ke kerangka dinosaur itu untuk mengambil swafoto.

Suspek meninggalkan muzium dengan topi itu berada di kepalanya.

Susulan kejadian, Polis New South Wales meminta sesiapa yang mengenali suspek supaya tampil ke depan membuat laporan polis atau menghubungi CrimeStoppers.

Jurucakap pihak berkuasa berkata, insiden itu amat serius memandangkan suspek memecah masuk bangunan yang menempatkan pelbagai barangan bersejarah. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 8:49 AM