Letusan Gunung Merapi dilihat dari daerah Sleman, Yogyakarta.
Letusan Gunung Merapi dilihat dari daerah Sleman, Yogyakarta.
AFP

SOLO: Gunung Merapi yang menjadi antara gunung berapi aktif di Indonesia kini mula meletup dengan mengeluarkan asap setinggi 6,000 meter ke udara, hari ini.

Keadaan itu menyebabkan komuniti di kawasan diselubungi debu selain memaksa penutupan lapangan terbang berhampiran.

Debu bersama pasir halus itu dapat dirasai di bandar yang terletak lebih 10 kilometer dari lokasi berhampiran ibu negeri Jogjakarta.

"Bunyi kuat boleh didengari kira-kira lima minit sebelum saya dapat melihat debu mula berterbangan dari rumah," kata penduduk di kejiranan Boyolali, Jarmaji.

Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang amaran letusan gunung berapi, setakat ini, namun Lapangan Terbang Antarabangsa di bandar Solo sudah ditutup untuk sementara waktu awal pagi ini.

Agensi gunung berapi Indonesia memberi amaran kepada penduduk agar berada sekurang-kurangnya tiga kilometer dari kawasan Gunung Merapi yang berkemungkinan akan menyebabkan aliran lava dan gas panas dari gunung berkenaan.

Letusan terbesar Gunung Merapi direkodkan pada 2010 dengan mengorbankan lebih 300 nyawa dan memaksa proses evakuasi terhadap 280,000 penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 1:52 PM