RICARDO Valero
RICARDO Valero
Reuters

MEXICO CITY: Duta Mexico ke Argentina meletak jawatan semalam atas alasan kesihatan susulan dakwaan terbarunya yang mencuri buku berharga AS$10 (RM41.41) menerusi satu video yang dilihat pada akhir Oktober lalu.

Reuters melaporkan, Ricardo Valero dipanggil awal bulan ini oleh Kementerian Luar Mexico susulan insiden itu di sebuah kedai buku di Buenos Aires pada 26 Oktober lalu.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia mengambil buku terbabit dari rak dan menyembunyikan dalam helaian akhbar yang dikepit bawah lengannya.

Buku yang dicuri itu adalah sebuah biografi Giacomo Casanova iaitu seorang penulis Itali kurun ke-18, askar dan perisik yang diingati sebagai pengembara menawan.

Kementerian itu mengesahkan sudah menerima peletakan jawatan diplomat terbabit.

“Valero adalah individu yang baik, dia menjalani rawatan neurologi dan saya berharap dia pulih segera,” kata Menteri Luar, Marcelo Ebrard di akaun Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 10:35 AM