CHAH dikehendaki di Taiwan kerana membunuh teman wanitanya Poon Hiu-wing. FOTO Agensi
CHAH dikehendaki di Taiwan kerana membunuh teman wanitanya Poon Hiu-wing. FOTO Agensi
Agensi

TAIPEI: Seorang lelaki yang secara tidak sengaja mencetuskan protes besar-besaran di Hong Kong apabila membunuh teman wanitanya di Taiwan dilaporkan bersetuju pulang ke pulau itu untuk berdepan hukuman, kata seorang paderi yang melawatnya di penjara.

Chan Tong-kai, 20, dikehendaki di Taiwan kerana membunuh teman wanitanya Poon Hiu-wing yang hamil ketika percutian dua penduduk Hong Kong itu ke pulau berkenaan pada Februari tahun lalu.

Dia kemudian melarikan diri ke Hong Kong dan polis Taiwan tidak dapat menahannya kerana tiada perjanjian ekstradisi antara bandar itu dengan Taipei.

Kes itu menyebabkan kerajaan Beijing di Hong Kong mencadangkan rang undang-undang yang membolehkan suspek di bandar berkenaan diekstradisi ke mana-mana wilayah termasuk Tanah Besar China dan Taiwan.

Bagaimanapun, cadangan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang memprotes besar-besaran kerana melihatnya sebagai usaha China menggugat demokrasi di bandar separa autonomi berkenaan. Akibatnya, Hong Kong dilumpuhkan sejak beberapa bulan lalu dengan tunjuk perasaan yang ada kalanya menjadi ganas.

Susulan itu, Daily Mail memetik paderi Peter Koon mendakwa suspek Chan sanggup kembali ke Taiwan untuk menghadapi pendakwaan, malah melantik peguam bela di Taiwan.

“Dia meminta maaf kepada keluarga mangsa, selain kesal dengan semua kejadian di Hong Kong akibatnya,” katanya.

Chan kini menjalani hukuman penjara singkat di Hong Kong kerana didapati bersalah mencuri barangan milik Poon, malah ketika perbicaraan berkenaan dia mengaku membunuh mangsa. Chan bakal dibebaskan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:50 AM