POLIS Persekutuan Australia (AFP) menahan Chan Han Choi dalam operasi  BYAHAUT di Sydney. FOTO EPA-EFE/Australian Federal Police
POLIS Persekutuan Australia (AFP) menahan Chan Han Choi dalam operasi BYAHAUT di Sydney. FOTO EPA-EFE/Australian Federal Police

Melbourne: Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai berurusan di pasaran gelap untuk menjual komponen peluru berpandu serta arang bagi pihak Korea Utara dalam tuduhan pertama seumpamanya membabitkan penjualan senjata pemusnah besar-besaran di Australia.

Lelaki dari Sydney itu dikenal pasti Australian Broadcasting Corporation dan media tempatan lain sebagai Chan Han Choi, 59, lelaki berketurunan Korea yang tinggal di Australia sejak lebih 30 tahun lalu.

Chan yang ditahan kelmarin dilaporkan di bawah pemerhatian pihak berkuasa sejak awal tahun ini, kata Polis Persekutuan Australia (AFP).

Asisten Komisioner AFP Neil Gaughan berkata: “Lelaki ini ejen yang setia kepada Korea Utara dan tindakannya semata-mata atas tujuan patriotik.

“Ini kali pertama kes seumpamanya di Australia.”

Katanya, pihaknya percaya lelaki itu cuba menjadi broker untuk penjualan komponen peluru berpandu termasuk perisian untuk sistem panduan peluru berpandu balistik, selain cuba menjual arang kepada pihak ketiga di Indonesia dan Vietnam.

Menurutnya, urus niaga itu mampu membawa keuntungan ‘puluhan juta dolar’ jika berjaya dilaksanakan.

“Lelaki itu juga berhubungan dengan pegawai kanan Korea Utara, tetapi tiada komponen peluru berpandu yang tiba di Australia. Kami juga tidak menemui bukti pembabitan pegawai kanan di Indonesia atau Vietnam dalam penjualan arang berkenaan.

“Semuanya dilakukan di pasaran gelap. Kami percaya semua aktiviti dilakukan sebagai satu lagi cubaan untuk meniagakan barangan dan perkhidmatan sebagai cara meningkatkan pendapatan kerajaan Korea Utara,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:22 AM