KERETA seorang pemandu dihalang dengan troli. FOTO/AGENSI
KERETA seorang pemandu dihalang dengan troli. FOTO/AGENSI
Agensi

BUENOS AIRES: Seorang pemandu di Argentina diberi ‘pengajaran’ berguna untuk tidak meletakkan kereta sesuka hati apabila pekerja sebuah pasar raya mengepungnya dengan berpuluh troli.

Daily Mail melaporkan, kejadian lucu itu menjadi tular di media sosial sejak Ahad lalu selepas beberapa gambar dimuat naik menunjukkan kereta Peugeot 308 tersadai di kawasan khas disediakan untuk meletak troli di Pasaraya Coto de Temperley.

Seorang netizen, Arnold Angelini yang memuat naik gambar itu di Facebook turut menulis keterangan gambar ‘anda mesti seorang yang bodoh untuk meletakkan kereta’ di kawasan troli.

Menurutnya, dia mengunjungi pasar raya itu untuk menonton wayang sebelum melihat kereta terbabit diletakkan di situ kira-kira jam 11 malam.

“Bagaimana jika berlaku kecemasan? Orang ramai sudah tidak lagi menghormati antara satu sama lain, ia adalah mengenai pentingnya sesuatu nilai dalam hidup bermasyarakat,” tulisnya.

Gambar terbabit kini dikongsi lebih 6,000 kali dan kebanyakan netizen menulis komen mereka bersetuju dengan tindakan pekerja pasar raya terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 11:22 PM