SEBAHAGIAN dadah yang dirampas di perairan Polynesia, Perancis. FOTO: AFP
SEBAHAGIAN dadah yang dirampas di perairan Polynesia, Perancis. FOTO: AFP
AFP

PAPEETE: Polis merampas 436 kilogram kokain yang disorok dalam kapal layar di Apataki, perairan Polynesia Perancis, Rabu lalu.

Polis turut menahan empat lelaki warganegara Itali dan Peru selepas menahan bot yang berlayar dari Panama itu.

Hasil pemeriksaan menemui 341 batu bata dan bungkusan kokain seberat 341 kilogram yang disimpan dalam satu ruang bot berkenaan, kata pendakwa raya Herve Leroy.

Kapal layar sepanjang 15 meter itu dibawa ke ibu kota Polynesia Perancis, Papeete dan pemeriksaan lanjut menemui lebih banyak dadah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 436 kilogram.

Empat lelaki berkenaan kini dalam tahanan polis dan mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda 7.5 juta euro (RM35.20 juta) sekiranya didapati bersalah.

“Kes ini membuktikan Polynesia Perancis menjadi laluan pilihan bagi pengedar dadah dari Amerika Latin untuk menjual kokain ke negara di Pasifik atau Asia,” kata Leroy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 3:29 PM