Agensi

CAPE TOWN: Mayat seorang pemburu haram dimakan sekumpulan singa selepas lelaki itu maut diserang seekor gajah di Taman Negara Kruger, minggu lalu.

Renger taman negara itu dalam kenyataan Jumaat lalu berkata, pasukan mencari hanya menemui tengkorak manusia dan seluar dipercayai milik mangsa.

Times Live memetik kenyataan polis Leonard Hlathi melaporkan, mangsa bersama empat pemburu mencerobohi taman negara itu pada 1 April lalu dipercayai untuk memburu badak sumbu.

Hlathi berkata, seekor gajah tiba-tiba menyerang kumpulan terbabit dan membunuh mangsa.

Seluar yang dipercayai milik mangsa.
Seluar yang dipercayai milik mangsa.

“Pemburu berkenaan mendakwa meletakkan mayat mangsa di tepi jalan raya supaya dijumpai orang yang melalui kawasan itu pada waktu pagi.

“Mereka kemudian segera meninggalkan taman negara itu dan memaklumkan kejadian terbabit kepada keluarga mangsa,” katanya.

Menurut Hlathi, polis sudah menahan pemburu terbabit yang berusia antara 26 hingga 35 tahun dan mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut melancarkan siasatan ke atas kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 2:28 PM