GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

BATAM: Sejak empat tahun lalu, isteri ahli perniagaan di Batam, Indonesia, menjadi mangsa peras ugut seorang lelaki dikenali melalui media sosial yang mengancam menyebarkan gambar bogelnya jika mangsa enggan melayan nafsu seksnya serta memberi wang.

Menurut media Indonesia, lelaki berkenaan, Handoko atau dikenali sebagai Acun, 46, berkenalan dengan wanita berusia 47 tahun itu melalui Facebook pada 2015.

Tribun News melaporkan, menurut polis, ketika pertemuan pertama mereka, wanita berkenaan tidak sedarkan diri selepas minum minuman diberi Acun.

Dua minggu kemudian wanita itu menerima sejumlah gambar bogelnya daripada Acun yang mengacam akan nenyebakan gambar terbabit di media sosial serta kepada keluarga jika mangsa enggan memenuhi permintaannya.

Selain menuntut wang berjumlah lebih RM100,000, lelaki berasal dari Pulau Jawa itu beberapa kali ke Batam, memaksa wanita berkenaan melakukan hubungan seks dengannya.

Menurut Ketua Polis Nongsa di Batam, Albet Sihite, mangsa perlu menjemput Acun di lapangan terbang dan dibawa ke hotel yang semuanya kosnya ditanggung wanita terbabit.

Albet berkata, mangsa yang tidak tahan berterusan diancam akhirnya membuat laporan polis minggu lalu dan lelaki terbabit sudah ditahan.

“Wanita itu mengaku memberi wang dan menjadi pemuas nafsu lelaki terbabit sejak 2015,” katanya.

Lelaki itu menghadapi tuduhan mengikut akta Maklumat dan Transaksi Elektronik yang membawa hukuman penjara sehingga enam tahun bersama denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:44 PM