JAMES INGRAM
JAMES INGRAM
AFP

NEW YORK: Pemenang anugerah Grammy, James Ingram yang terkenal dengan lagu berentak R&B meninggal dunia, semalam pada usia 66 tahun.

“Saya kehilangan rakan paling baik dan kreatif, James Ingram. Beliau akan sentiasa dihargai, disayangi dan diingati kerana kebijaksanaannya, cintanya kepada keluarga dan perikemanusiaannya,” kata Debbie Allen menerusi Twitter.

Ingram, yang berasal dari Ohio, Amerika Syarikat memulakan kerjaya muzik bersama kumpulan Revelation Funk dan menjadi pemain keyboard untuk Ray Charles.

Kemunculannya dikenali selepas beliau meminjamkan suaranya di dalam lagu ‘Just Once’ dan ‘One Hundred Ways’ pada album yang dirakam oleh legenda industri, Quincy Jones.

Ingram memperoleh tiga pencalonan Anugerah Grammy termasuk ‘Best New Artist’, dengan memenangi ‘Best Male R&B Vocal Performance’ pada tahun 1981.

Sepanjang kariernya, Ingram tercalon untuk 14 Anugerah Grammy, dua Anugerah Golden Globes dan dua Anugerah Oscar, satu untuk duet dengan Patti Austin, ‘How Do you Keep the Music Playing?’ yang dikenali dalam filem ‘Best Friends.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:47 AM