MENDIANG George H W Bush disemadikan di College Station, Texas. FOTO EPA
MENDIANG George H W Bush disemadikan di College Station, Texas. FOTO EPA
AFP/Reuters

MENDIANG Presiden ke-41 Amerika Syarikat, George H W Bush disemadikan di Texas hari ini, selepas majlis penghormatan negara berlangsung di Washington, semalam.

Majlis penghormatan itu dihadiri lima Presiden Amerika Syarikat yang masih hidup, orang kenamaan dan diplomat asing, sebelum mayat Bush diterbangkan ke Houston.

Lima presiden terbabit, ialah empat bekas presiden Barack Obama, Bill Clinton, Jimmy Carter dan anaknya, George W Bush, iaitu Presiden Amerika Syarikat ke-43 serta Donald Trump.

Bush yang meninggal dunia pada Jumaat lalu pada usia 94 tahun ditempatkan di Gereja Episcopal St Martin, sebelum disemadikan di sini, di sisi mendiang isterinya, Barbara dan anak perempuannya, Robin.

Barbara meninggal dunia pada April lalu, manakala Robin meninggal dunia ketika berusia tiga tahun akibat leukemia.

Terdahulu, mayat mendiang Bush tiba di stesen kereta api sini, dari Washington dengan gerabak khas yang dihias menyamai pesawat Air Force One, iaitu jet rasmi Presiden Amerika Syarikat, sebelum disemadikan di perpustakaan peribadi miliknya.

Keranda yang membawa mayat Bush diiringi pasukan pengawal kehormat tentera, manakala satu skuadron pesawat tentera melakukan lintas udara, pada majlis penghormatan terakhir yang turut disaksikan oleh anak lelakinya, George W Bush.

Ia sekali gus mengakhiri upacara penghormatan yang berlangsung selama empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 11:36 PM