GAMBAR dari udara menunjukkan lokasi helikopter  berkenaan nahas berhampiran bangunan apartmen. - Reuters
GAMBAR dari udara menunjukkan lokasi helikopter berkenaan nahas berhampiran bangunan apartmen. - Reuters
Agensi

ANKARA: Empat askar terbunuh, manakala seorang lagi cedera selepas helikopter dinaiki terhempas di kawasan perumahan di Istanbul ketika latihan ketenteraan, kata gabenor wilayah.

AFP melaporkan, dalam nahas jam 11 pagi di Sancaktepe, iaitu bahagian Asia negara itu, helikopter berkenaan terhempas berhampiran bangunan apartmen.

Bagaimanapun, tiada kecederaan awam dilaporkan.

Laporan media turut mendakwa helikopter itu terlanggar bumbung sebuah bangunan sebelum terhempas.

“Tiada maklumat menunjukkan ada orang awam cedera,” kata pejabat gabenor dalam satu kenyataan.

Menteri Pertahanan, Hulusi Akar yang melawat kejadian dipetik CNN Turk berkata: “Juruterbang berkenaan memang wira apabila jelas berusaha memastikan nahas tidak membabitkan kecederaan awam.”

Menurut agensi berita Anadolu, punca nahas masih belum diketahui dan pendakwa Istanbul kini menyiasat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 6:01 AM