ASHRAF tolak  peletakan jawatan menteri dalam negeri, menteri pertahanan dan ketua perisikan. FOTO/AFP
ASHRAF tolak peletakan jawatan menteri dalam negeri, menteri pertahanan dan ketua perisikan. FOTO/AFP
AFP

KABUL: Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menolak peletakan jawatan menteri dalam negeri, menteri pertahanan serta ketua perisikan, ketika kerajaan berdepan kritikan hebat disebabkan meningkatnya serangan pemberontak.

Ashraf mengarahkan Menteri Pertahanan, Tariq Shah Bahrami, Menteri Dalam Negeri, Wais Ahmad Barmak dan Ketua Perisikan, Masoom Stanekzai menjalankan tugas mereka, selepas menolak surat peletakan jawatan yang dihantar Sabtu lalu. Beliau juga meminta mereka membantu memperkukuhkan pertahanan negara.

“Presiden Ashraf tidak meluluskan peletakan jawatan, malah mengarahkan mereka meningkatkan keselamatan,” kata kenyataan istana.

Pada Sabtu lalu, penasihat keselamatan negara paling berpengaruh Ashraf, Mohammad Haneef Atmar meletak jawatan, menjadi tamparan hebat kepada kerajaan, menjelang pilihan raya parlimen yang dijadualkan Oktober tahun ini.

Pihak istana kemudian mengumumkan pada Ahad, tempat Atmar diambil alih oleh bekas duta Afghanistan ke Amerika Syarikat, Hamdullah Mohib.

“Menerima peletakan jawatan kawan lama dan rakan sekerja adalah satu keputusan sukar untuk saya, tetapi keputusan perlu dibuat demi kepentingan negara,” kata Ashraf dalam kenyataan istana.

Pentadbiran Ashraf dikritik hebat kerana gagal mengawal pemberontak yang semakin berleluasa. Taliban meningkatkan serangan terhadap polis dan tentera di seluruh negara, sedangkan militan Daesh pula menjadikan Kabul sebagai sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 6:15 AM