KESAN letupan yang mengakibatkan kerosakan bangunan di Apiate selepas trak membawa bahan letupan meletup. FOTO Agensi
KESAN letupan yang mengakibatkan kerosakan bangunan di Apiate selepas trak membawa bahan letupan meletup. FOTO Agensi
AFP

Accra: Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan 59 lagi cedera dalam satu letupan dahsyat di Ghana, semalam, selepas trak yang membawa bahan letupan bertembung dengan sebuah motosikal.

Letupan itu mengakibatkan terjadi 'kawah besar' dan memusnahkan berpuluh-puluh bangunan di Apiate, berhampiran bandar Bogoso, kira-kira 300 kilometer ke barat dari ibu negara Afrika Barat itu, Accra.

Rakaman video menunjukkan penduduk tempatan bergegas ke lokasi kebakaran untuk menyaksikan kerosakan, manakala pasukan penyelamat dilihat tertumpu di kawasan runtuhan bangunan untuk mangsa yang terperangkap.

"Seramai 17 orang disahkan meninggal dunia dan 59 lagi yang cedera sudah diselamatkan," kata Menteri Penerangan Kojo Oppong Nkrumah dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menteri itu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan trak mengangkut bahan letupan untuk syarikat perlombongan, motosikal dan kenderaan ketiga di lokasi berhampiran pengubah elektrik.

Katanya, daripada 59 yang cedera, 42 menerima rawatan di hospital dan pusat kesihatan, ada yang dalam keadaan kritikal.

Presiden Ghana Nana Akufo-Addo menyifatkan kejadian itu sebagai insiden yang benar-benar menyedihkan, malang dan tragis.

Kerajaan negara itu mengarahkan mangsa yang kritikal dipindahkan ke hospital di Accra, manakala polis diminta mendapatkan kerjasama penduduk di kampung sekitar lokasi kejadian untuk membuka sekolah dan gereja bagi menampung sebarang kemalangan jiwa.

Sepasukan pakar letupan polis dan tentera juga sudah dikerahkan untuk mengelakkan letupan kedua dan melaksanakan langkah keselamatan selepas letupan itu, kata kerajaan dalam satu kenyataan akhbar.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 11:26 AM