PENDAKI menuruni Gunung Rinjani di Sembalun, Lombok. FOTO Reuters/Akbar Nugroho Gumay
PENDAKI menuruni Gunung Rinjani di Sembalun, Lombok. FOTO Reuters/Akbar Nugroho Gumay
Reuters

JAKARTA: Hampir 700 pendaki menuruni Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia hari ini, sehari selepas gempa bumi kuat magnitud 6.4 menggegarkan pulau pelancongan itu, mencetuskan kebimbangan ketika batuan besar jatuh dari cerun gunung berapi.

Pihak berkuasa berkata, angka kematian akibat gempa bumi semalam, berpusat di kawasan utara Lombok namun turut dirasai di pulau peranginan Bali di sebelah barat, kekal 16 orang dengan lebih 335 lain cedera akibat ditimpa runtuhan bangunan.

“Saya fikir saya akan mati. Saya hanya berpaut di tanah. Ia seperti gempa tidak akan berakhir. Saya juga melihat orang jatuh, namun hanya samar-samar,” kata John Robyn Buenavista, 23, rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berada di puncak apabila gempa berlaku.

Pihak berkuasa taman negara berkata hari ini, laluan utama ke puncak gunung berapi setinggi 3,726 meter itu sudah dibersihkan dan sebuah helikopter menghantar bekalan kepada pendaki yang berusaha menyelamatkan diri.

Dianggarkan 689 orang masih berada di Rinjani, kata jurucakap agensi pencegahan bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

“Ratusan pendaki di kawasan pendakian kawah tidak dapat turun kerana laluan dipenuhi runtuhan tanah dan ada kebimbangan berlaku tanah runtuh berikutnya,” kata Sutopo dalam sidang media.

Sehingga seramai 820 orang, kebanyakannya rakyat asing berada di puncak Rinjani apabila gempa bumi berlaku, menjadikan dua laluan tidak boleh dimasuki, kata Sutopo di Twitter lewat semalam.

Rakyat Thailand membentuk kumpulan terbesar antara 637 rakyat asing yang mendaftar untuk mendaki gunung itu pada 27 dan 28 Julai lalu, iaitu 337 orang diikuti Perancis, Belanda dan Sepanyol.

Taman Negara Gunung Rinjani dalam mesej Twitter berkata hari ini, laluan utama, Senaru sudah dibuka untuk pendaki turun.

Pihak berkuasa menjangka 500 pendaki tiba di puncak gunung menjelang jam 5 petang, kata seorang pegawai pencegahan bencana di rantau Nusa Tenggara Barat, Agung Pramuja.

Satu kejadian tanah runtuh akibat gempa menyebabkan kumpulan enam pendaki terperangkap di tasih kawah gunung berapi kedua tertinggi Indonesia itu, katanya dengan kira-kira 100 askar, polis dan penyelamat lain berusaha membawa pendaki turun sementara helikopter meninjau mangsa yang terperangkap.

Taman negara itu menerusi laman webnya berkata, pendaki biasanya mengambil masa dua hari semalam untuk sampai ke tengah kawah Rinjani dan turun semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 5:44 PM