POLIS memeriksa tempat mayat mangsa ditemui. - Agensi
POLIS memeriksa tempat mayat mangsa ditemui. - Agensi
Agensi

Jakarta: Seorang paderi disyaki membunuh dan merogol anak angkatnya, pelajar berusia 21 tahun, kerana tidak puas hati mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Henderson Kembaren, 49, dilaporkan sempat senyum dan menyapa beberapa orang di luar gereja di Deliserdang, Sumatera Utara, itu yang mengesyaki sesuatu tidak kena apabila terdengar bunyi jeritan sebelum itu, lapor Tribun News.

Malah, apabila disoal dia mendakwa bunyi itu kucing sebelum beredar.

Bagaimanapun, orang ramai yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya memanjat pagar untuk memeriksa sebelum menemui mayat mangsa, Rosalia Cici Maretini Siahaan bogel di dalam bilik mandi dengan pelbagai kesan luka.

Lehernya juga dikelar selain luka pada bahagian kepala.

Seorang saksi berkata: “Saya dengar bunyi jeritan seperti orang meminta tolong dari belakang gereja, namun takut untuk mendekatinya.

“Tidak lama kemudian saya lihat Henderson keluar malah dia masih tersenyum dan berkata mahu keluar membeli nasi.

“Apabila disoal mengenai bunyi jeritan itu dia menjawab ‘itu kucing.’

 SUSPEK (dua dari kanan) ditahan polis. - Agensi
SUSPEK (dua dari kanan) ditahan polis. - Agensi

Ibu mangsa, Renta, berkata, anaknya menerima panggilan telefon daripada suspek sekitar jam 9 pagi kelmarin memintanya datang ke gereja pada jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Jakarta Post memetik jurucakap polis, Senior Komisioner Tatan Dirsan Atmaja berkata, pihaknya percaya mangsa dirogol berdasarkan cecair dipercayai air mani ditemui padanya.

“Namun buat masa ini kami masih menantikan laporan perubatan untuk mengesahkannya,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai berang selepas mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya susulan pertengkaran antara mereka.

Ketua Siasatan Jenayah Deliserdang, Ruzi Gusman berkata, suspek dan mangsa menjalin hubungan terlarang.

“Ada motif dendam juga di sini, disebabkan hubungan asmara antara mereka. Namun semua ini masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 5:37 AM