PELARIAN Rohingya berkumpul di sebalik pagar sempadan Myanmar dekat Tombru, Bangladesh. - AFP
PELARIAN Rohingya berkumpul di sebalik pagar sempadan Myanmar dekat Tombru, Bangladesh. - AFP

Tombru, Bangladesh: Pasukan keselamatan Myanmar menggunakan pembesar suara ‘menghalau’ pelarian etnik Rohingya yang berlindung di zon bebas antara sempadan negara itu dengan Bangladesh.

Kira-kira 6,000 pelarian menduduki kawasan berkenaan, sama ada menunggu untuk masuk ke Bangladesh atau perkembangan baru yang membolehkan mereka pulang ke kampung.

Februari lalu, Myanmar bersetuju menghentikan penggunaan pembesar suara bagi menghalau etnik Rohingya Islam di kawasan berkenaan, menggesa mereka segera menyeberang ke Bangladesh.

Sejak itu, tentera Myanmar juga mengeluarkan sebahagian besar pasukan tenteranya dari kawasan berkenaan.

Namun, amaran melalui pembesar suara itu kembali minggu ini, dimainkan beberapa kali sehari.

“Ia mengganggu dan mencetuskan panik,” kata Mohammad Arif yang dianggap antara ketua kumpulan pelarian itu.

Amaran dalam bahasa Burma dan Rohingya itu memberi amaran kepada pelarian supaya meninggalkan ‘kawasan Myanmar atau akan didakwa’.

“Kami rakyat Myanmar. Ini tanah air kami dan berhak berada di sini. Kenapa kami perlu ke tempat lain,” kata seorang lagi ketua, Dil Mohammad.

Pemerintah Pengawal Sempadan Bangaladesh tempatan, Leftenan Kolonel Manzurul Hasan Khan, berkata pihaknya mengawasi perkembangan itu dengan teliti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 9:20 AM