ANJING yang diletakkan dalam ruang simpanan di bahagian atas  selama tiga setengah jam. - Agensi
ANJING yang diletakkan dalam ruang simpanan di bahagian atas selama tiga setengah jam. - Agensi

New York: Seekor anjing mati dalam pesawat United Airlines selepas anak kapal memaksa pemiliknya meletakkan haiwan itu dalam ruang bagasi di atas kepala, kelmarin.

Dalam penerbangan dari Houston ke New York itu, seorang wanita bersama anak dan anjingnya dipaksa kru meletakkan haiwan itu dalam ruang simpanan di bahagian atas sepanjang penerbangan selama tiga setengah jam itu.

Menurut seorang penumpang, Maggie Gremminger, wanita berkenaan mahu anjingnya berada dalam beg kecil yang diletak di bawah tempat duduknya, namun tidak dibenarkan kru.

“Pada akhir penerbangan, wanita berkenaan mendapati anjingnya sudah mati.

“Dia duduk di atas lantai sambil menangis dan semua penumpang tergamam,” kata Gremminger melalui Twitter bersama gambar wanita berkenaan dan anaknya.

United menyifatkan kejadian itu sebagai tragik yang tidak sepatutnya terjadi kerana haiwan peliharaan tidak boleh diletakkan dalam ruang atas kepala.

Jurucakap United, Maggie Schmerin, berkata, syarikat akan menyiasat perkara itu dan kos tiket dipulangkan semula kepada keluarga wanita berkenaan, termasuk yuran kabin haiwan peliharaan bernilai AS$125 (RM486).

Ini bukan kali pertama United disiasat kerana layanan terhadap haiwan.

Tahun lalu, ia disaman pemilik arnab gergasi yang mati dalam satu pesawatnya. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:45 AM