Tentera Sri Lanka mengawasi laluan selepas tercetusnya rusuhan anti-Muslim di Kandy, Sri Lanka. FOTO REUTERS
Tentera Sri Lanka mengawasi laluan selepas tercetusnya rusuhan anti-Muslim di Kandy, Sri Lanka. FOTO REUTERS
Agensi

Colombo: Sri Lanka melaksanakan darurat 10 hari di seluruh negara bagi mengekang keganasan berikutan rusuhan anti-Muslim yang menyebakan sekurang-kurangnya dua terbunuh serta kerosakan rumah dan masjid.

“Kabinet memutuskan melaksanakan langkah lebih tegas, termasuk darurat 10 hari di seluruh negara,” kata Menteri Perancang Bandar, Rauff Hakeem.

Menurutnya, pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya di daerah Kandy, pusat rusuhan.

Menurut AFP, kerajaan juga menghantar polis komando yang lengkap bersenjata ke wilayah itu yang menjadi tarikan pelancong selepas perusuh melanggar perintah berkurung semalam.

Perintah berkurung di daerah itu dilanjutkan selepas seorang penduduk Islam mati hangus dalam rumahnya yang dibakar, menegangkan lagi kebimbangan keganasan agama di Sri Lanka sejak beberapa minggu lalu.

Darurat membolehkan kerajaan menahan suspek untuk tempoh lebih lama dan menggerakkan tentera jika perlu.

Rumah penduduk Islam, kedai dan masjid rosak teruk dalam rusuhan itu yang dikatakan bermula selepas kematian lelaki Sinhalese, minggu lalu.

Sinhalese yang beragama Buddha ialah etnik majoriti Sri Lanka iaitu tiga perempat daripada 21 juta penduduk manakala Islam hanya 10 peratus.

Polis sudah menahan lebih 20 orang dan memulakan siasatan terhadap tindakan polis di Kandy.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh tujuh tahun Sri Lanka melaksanakan darurat sejak berakhirnya pemberontakan Tamil Elam pada 2009.

Reuters melaporkan, jurucakap kerajaan, Dayasiri Jayasekara, berkata kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencetuskan keganasan menerusi Facebook.

Penduduk Buddha juga membantah kehadiran etnik Muslim Rohingya dari Myanmar yang berlindung sementara menunggu suaka politik di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 6:30 PM