PENDUDUK turut membantu bomba memadamkan api di Vigo, Galicia, Sepanyol. - EPA
PENDUDUK turut membantu bomba memadamkan api di Vigo, Galicia, Sepanyol. - EPA
PENDUDUK menyelamatkan ternakan di Vieira de Leiria, Marinha Grande, Portugal. - EPA
PENDUDUK menyelamatkan ternakan di Vieira de Leiria, Marinha Grande, Portugal. - EPA

Lisbon: Sekurang-kurangnya 27 orang mati dalam kebakaran yang memusnahkan hutan di utara dan tengah Portugal sejak Ahad lalu, kata penyelamat semalam dalam pada tiga orang turut terbunuh di Sepanyol akibat api yang sengaja dimulakan dan lebih diterukkan dengan Taufan Ophelia.

Di Portugal, Perdana Menteri Antonio Costa mengumumkan darurat ketika lebih 4,000 bomba berusaha memadamkan kira-kira 20 kebakaran besar yang masih berterusan, semalam.

Dua puluh kematian yang disahkan agensi perlindungan awam kebangsaan Portugal berlaku hanya empat bulan selepas 64 orang terbunuh dan lebih 250 cedera pada 17 Jun lalu, ketika kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negara itu.

Kira-kira 520 kebakaran berasingan berlaku Ahad lalu akibat suhu lebih tinggi daripada biasa untuk musim ini selain diburukkan dengan kemarau yang dirasai sejak awal tahun ini, kata jurucakap agensi perlindungan awam Patricia Gaspar.

Sementara itu, di Galicia, barat laut Sepanyol di sempadan Portugal, pihak berkuasa berkata, 17 kebakaran dipercayai sengaja dimulakan menyebabkan tiga kematian.

Ketua kerajaan wilayah Galicia, Alberto Nunez Feijoo berkata: “Memang kebakaran sengaja dimulakan dan dirancang awal. Keadaan masih membimbangkan dan askar turut membantu bomba memadam api.”

Menteri Dalam Negeri Juan Ignacio Zoido berkata di Twitter, beberapa orang sudah dikenal pasti sebagai suspek.

Api disemarakkan dengan tiupan angin sehingga 90 kilometer sejam susulan Taufan Ophelia yang bergerak ke utara dari Sepanyol ke Ireland.

Gambar disiarkan televisyen kebangsaan menunjukkan penduduk tempatan di Vigo berusaha bersama-sama memadam api dengan muka ditutup menggunakan kain serta sapu tangan.

Ophelia dilaporkan taufan paling kuat direkodkan di timur Atlantik setakat ini, dan yang pertama sejak 1939 melanda ke utara benua Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 5:44 AM