ANGGOTA Brigade Ezzedine al-Qassam, sayap bersenjata Hamas berarak di Khan Yunis di Semenanjung Gaza kelmarin. - AFP
ANGGOTA Brigade Ezzedine al-Qassam, sayap bersenjata Hamas berarak di Khan Yunis di Semenanjung Gaza kelmarin. - AFP

Kaherah: Hamas bersetuju untuk berunding dengan pergerakan Fatah bagi membubarkan jawatankuasa pentadbiran Gaza dan mengadakan pilihan raya umum, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

Langkah itu diambil bagi memeterai satu perjanjian untuk menamatkan persengketaan antara dua kumpulan berkenaan.

Pihak Berkuasa Palestin yang dikawal Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, berperang dengan Hamas pada 2007, yang kemudian membawa kepada pengambilalihan kuasa di Gaza oleh Hamas.

Sejak itu, beberapa percubaan untuk mendamaikan kedua-dua kumpulan dan membentuk kerajaan perpaduan di Gaza dan Tebing Barat gagal.

Hamas berkata, ia bersetuju membubarkan pentadbiran di Gaza bagi membolehkan kerajaan sementara menjalankan tugas untuk mengadakan pilihan raya dan berbincang dengan Fatah.

Mesir berbincang dengan Fatah untuk melaksanakan perjanjian itu yang ditandatangani pada 2011 di Kaherah dengan Hamas, bagi menamatkan pertikaian dan membentuk kerajaan sementara sebelum pilihan raya.

Dengan prospek inisiatif perdamaian Asia Barat oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang lebih bersimpati terhadap Israel, Abbas memberi tekanan kepada Hamas.

Ini termasuk tidak membayar kos bekalan elektrik yang disalurkan ke Gaza kepada Israel dan memotong gaji penjawat awam di wilayah itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 9:01 AM