ROBERT Mugabe dan isterinya, Grace.
ROBERT Mugabe dan isterinya, Grace.
KERETA kebal dan askar dilihat berkawal di sebatang jalan raya di Harare, kelmarin. - Agensi
KERETA kebal dan askar dilihat berkawal di sebatang jalan raya di Harare, kelmarin. - Agensi
Agensi

Harare (Zimbabwe): Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dan isterinya dilaporkan ditahan tentera dalam kejadian disifatkan ‘peralihan kuasa tanpa pertumpahan darah,’ malam kelmarin.

Beberapa laporan media mendakwa pemimpin berusia 93 tahun itu akhirnya disingkirkan selepas 37 tahun berkuasa, namun tentera menegaskan kejadian itu bukan kudeta, sebaliknya presiden dan keluarganya selamat.

Ramai pemerhati antarabangsa bagaimanapun menyifatkan tindakan itu satu rampasan kuasa tentera.

Pada pagi semalam, seorang jurucakap tentera muncul di televisyen dan mengesahkan pasangan berkenaan ditahan.

Lokasi Mugabe dan isterinya, Grace, 52, - yang dipercayai bakal dilantik sebagai presiden sekiranya suaminya meninggal dunia - bagaimanapun tidak diketahui.

Tentera turut menyeru agensi keselamatan lain supaya memberi kerjasama untuk kebaikan negara dan memberi amaran sebarang provokasi akan menerima tindak balas bersesuaian.

Agensi media yang berjaya mendapatkan maklumat dari ibu negara itu melaporkan berlakunya kekacauan pada malam kelmarin dengan sekurang-kurangnya tiga letupan didengari.

MirrorOnline kelmarin melaporkan beberapa kereta kebal dan kenderaan berperisai ditempatkan di beberapa lokasi utama di Harare.

Penduduk juga dilihat beratur panjang di mesin pengeluaran wang automatik dipercayai panik dan mahu segera mengeluarkan duit.

Selepas menguasai stesen televisyen milik negara, tentera memberitahu, penjenayah yang berada di sekitar presiden sasaran utamanya.

“Kami hanya memburu penjenayah yang menyebabkan negara mengalami penderitaan sosial dan ekonomi serta membawa mereka ke muka pengadilan.

“Sebaik saja misi kami dicapai, keadaan akan kembali normal,” kata jurucakap itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 9:29 AM