PELAJAR sebuah sekolah  di Manila keluar dari bangunan sekolah susulan gempa bumi  di pulau Luzon semalam. - Reuters
PELAJAR sebuah sekolah di Manila keluar dari bangunan sekolah susulan gempa bumi di pulau Luzon semalam. - Reuters

Manila: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.2 magnitud melanda utara pulau Luzon semalam menyebabkan bangunan di kawasan berhampiran termasuk di Manila bergoyang.

Institut Seismologi dan Volkanologi Filipina memberitahu, gempa melanda berhampiran bandar Lian pada jam 1.28 petang (waktu tempatan) pada kedalaman 173 kilometer.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa itu berkekuatan 6.2 magnitud.

“Kerana pusat gempa ini dalam, kami tidak menjangka ada kerosakan yang berlaku,” kata pengarah institut itu, Renato Solidum.

Seorang pegawai di bandar terhampir dengan pusat gempa juga melaporkan tiada kerosakan atau kematian.

Bagaimanapun, bangunan di Manila dan kawasan berhampiran dilaporkan bergoyang.

Saksi berkata, pekerja di Istana Malacanang dan bangunan kerajaan lain diarahkan mengosongkan bangunan sebagai langkah keselamatan.

Media turut menyiarkan gambar termasuk pelajar duduk di luar sekolah selepas diarah mengosongkan bangunan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:10 AM