MADURO ketika mengisytiharkan kemenangannya di tengah Caracas, semalam.  - Reuters
MADURO ketika mengisytiharkan kemenangannya di tengah Caracas, semalam. - Reuters
LETUPAN berlaku dalam pertempuran antara polis dengan penyokong penentang Maduro di Dataran Altamira, Caracas, semalam.  - EPA
LETUPAN berlaku dalam pertempuran antara polis dengan penyokong penentang Maduro di Dataran Altamira, Caracas, semalam. - EPA
Agensi

Caracas: Venezuela hari ini berdepan dengan satu lagi tunjuk perasaan selepas pilihan raya kontroversi untuk memilih ahli Parlimen baru bagi merangka semula perlembagaan negara itu mencetuskan keganasan yang menyebabkan 10 orang terbunuh.

Penentang Presiden Nicolas Maduro berikrar untuk mengadakan satu lagi bantahan besar-besaran di seluruh negara walaupun kerajaan bertindak menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan yang menyebabkan lebih 120 orang mati sepanjang empat bulan lalu.

Tanpa mempedulikan kecaman antarabangsa, termasuk ancaman sekatan baru oleh Amerika Syarikat, Maduro mendakwa menang dalam pilihan raya yang diadakan Ahad lalu.

Pemimpin berhaluan kiri itu menggesa Parlimen baru menggunakan kuasanya bagi menghapuskan imuniti anggota pembangkang daripada didakwa sebagai langkah pertamanya.

Dalam keganasan kelmarin, penunjuk perasaan menyerang pusat mengundi dan mengepung jalan raya di seluruh negara itu.

Pasukan keselamatan bertindak balas dengan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup di beberapa kawasan.

Walaupun kekacauan meletus dan pembangkang memulaukan pilihan raya itu, Majlis Pilihan Raya Kebangsaan berkata, jumlah penduduk yang keluar mengundi adalah luar biasa.

Maduro ketika bercakap kepada ratusan penyokongnya di tengah Caracas berkata, kerajaannya menang besar pilihan raya itu.

“Ia kemenangan terbesar dicapai oleh revolusi sepanjang 18 tahun lalu,” katanya, merujuk kepada tahun bekas mentornya, Hugo Chavez mula berkuasa.

Isterinya, Cilia Flores adalah antara anggota baru Parlimen itu.

Selain diselar oleh Amerika Syarikat, pilihan raya berkenaan juga dikecam oleh Kesatuan Eropah, Kanada dan kuasa Amerika Latin, termasuk Argentina, Brazil, Colombia dan Mexico.

Pemimpin kanan pembangkang, Henrique Capriles menggesa rakyat negara itu meneruskan tunjuk perasaan membantah pilihan raya itu dan juga kerajaan Maduro.

Maduro sebelum ini mengharamkan tunjuk perasaan bagi membantah pilihan raya itu dengan mengancam memenjarakan sehingga 10 tahun ke atas mereka yang didapati bersalah.

Menurut kajian yang dijalankan, lebih 70 peratus rakyat Venezuela menentang pilihan raya berkenaan dan 80 peratus menolak Maduro sebagai pemimpin negara itu.

Rakyat Venezuela di luar negara juga mengadakan tunjuk perasaan di Miami, Madrid dan beberapa bandar Amerika Latin semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 7:21 AM