SETIAUSAHA Negara AS, Mike Pompeo. FOTO AFP
SETIAUSAHA Negara AS, Mike Pompeo. FOTO AFP
Agensi

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak menolak kemungkinan campur tangan tenteranya di Venezuela, malah pentadbiran Presiden Donald Trump dikatakan sedang membuat persiapan melaksanakan tindakan ketenteraan bagi meredakan krisis di negara itu.

“Pendirian Presiden amat jelas dan konsisten. Tindakan ketenteraan adalah berkemungkinan. Malah, jika itu yang diperlukan, Amerika akan melakukannya,” kata Setiausaha Negara, Mike Pompeo, dalam temuramah dengan Fox Business Network hari ini, lapor AFP.

Sementara itu, Reuters melaporkan Penasihat Keselamatan Kebangsaan, John Bolton, berkata Pompeo dijangka berbincang dengan rakan sejawatannya dari Russia mengenai ketegangan di Venezuela.

Dalam temuramah dengan CNN dan Fox News, Bolton berkata, Pompeo akan berbincang dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.

Semalam, Pompeo menuduh Russia campur tangan ketika Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, sudah bersedia untuk meninggalkan negaranya berikutan peningkatan bantahan oleh pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang menyeru tentera serta rakyat bersatu mendesak Maduro berundur.

Ribuan rakyat Venezuela dijangka memenuhi jalan raya menunjukkan bantahan terhadap Maduro, perhimpunan yang dianggap Guaido sebagai ‘perarakan terbesar’ dalam sejarah negara itu, sehari selepas beliau mendesak tentera menggulingkan Maduro.

Pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera di Caracas hari ini, menyebabkan lebuh 100 cedera, tidak menunjukkan tentera akan berpaling padah menyahut seruan Guaido

“Kita teruskan. Kita teruskan dengan lebih kuat,” kata Guaido melalui Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 9:15 PM