BAHREN
BAHREN
MOHAMED SALLEH
MOHAMED SALLEH
HALIMAH
HALIMAH
Agensi

Singapura: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Singapura, Bahren Shaari kelmarin berkata, dia tidak menolak kemungkinan bertanding dalam pilihan raya presiden republik itu September ini.

Namun, katanya, buat masa ini, dia akan memberi tumpuan terhadap kerjanya.

“Ketika ini, saya memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi perniagaan Bank Singapura dengan pasukan saya. Saya amat tersentuh apabila nama saya disebut sebagai calon yang berpotensi. Ia satu penghormatan untuk berkhidmat kepada negara,” kata Bahren, 54, ketika diwawancara Mediacorp.

Selain Bahren yang dilantik menganggotai Majlis Penasihat Presiden bulan lalu, nama lain yang turut disebut akan menjadi calon sektor awal dalam pilihan raya itu ialah Speaker Parlimen Halimah Yacob, Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, bekas anggota Kabinet Abdullah Tarmugi, bekas Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Zainul Abiden Rasheed dan bekas rakan pengurusan Deloitte & Touche Po’ad Shaik Abu Bakar Mattar.

Bakal calon boleh membuat permohonan bagi mendapatkan sijil yang diperlukan mulai semalam supaya mereka boleh bertanding dalam Pilihan Raya Presiden (PE) pada bulan September yang dikhususkan untuk etnik Melayu.

Rabu lalu Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties Mohamed Salleh Marican mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding. Dia satu-satunya ‘orang luar sektor awam’ yang berbuat demikian setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 2:45 AM