PUSINGAN akhir perlawanan antara Amirul dan Lucy.
PUSINGAN akhir perlawanan antara Amirul dan Lucy.
AMIRUL (tiga dari kiri) bergelar naib juara.
AMIRUL (tiga dari kiri) bergelar naib juara.
SUASANA yang meriah di Mydin Mall, Bukit Mertajam.
SUASANA yang meriah di Mydin Mall, Bukit Mertajam.
Hazril Md Nor


Industri e-sukan selalunya tertumpu di ibu negara dan mendapat perhatian rata-rata anak muda yang meminati permainan video.

Tapi di utara tanah air, lain pula senarionya. Pusat e-sukan, Gamesbond menganjurkan Penang FIFA 18 Cyberyouth Cup 2017 di Mydin Mall Bukit Mertajam dengan hadiah terkumpul RM10,000.

Acara ini turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Youth Development Corporation dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

Seramai 256 pemain yang menyertai kejohanan ini. Naib juara, Mohamad Amirul Asyraf Padzilan, 25, dari Ipoh berkongsi pengalamannya bersama penulis.

“Ini kali pertama saya sertai kejohanan sebesar ini di Pulau Pinang. Sebelum ini saya sertai Cyberfest di Empire City, Kuala Lumpur.

“Boleh dikatakan, tahun lalu (2017) adalah titik permulaan saya bermain FIFA. Sepanjang berada di Ipoh, saya banyak sertai pertandingan di Maximusss Games Centre,” katanya.

Amirul yang juga penuntut tahun akhir jurusan perakaunan di Universiti Tun Razak (UNITAR) berkata, dia menemui ramai pesaing baru.

“Kalau dulu selalu bersaing dengan orang yang kita kenal, kali ini berbeza. Mereka yang profesional dari Kuala Lumpur turut mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

“Tapi saya anggap ini rezeki apabila mendapat tempat kedua selepas lama berlatih. Terima kasih kepada penaja, Gamesbro Studio dan Freekgaming Studio kerana menaja makan minum dan perbelanjaan saya di sini,” katanya.

Menurut Amirul, dia ingin terus berkecimpung dalam e-sukan walaupun perlu menjalani latihan industri di Selangor.

“Main ‘game’ ini bukan sekadar suka-suka tapi saya ingin menjadi juara lebih-lebih lagi apabila sudah bersaing di peringkat tertinggi sebelum ini.

“Saya sangat berharap kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada industri ini untuk menyediakan laluan kepada pemain seperti saya dan mereka yang ingin serius dalam e-sukan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama Gamesbond Suki Lee berkata, pihaknya ingin terus mencari bakat baru di utara tanah air dan ini antara pendekatan terbaru.

“Kami ingin tunjukkan kejohanan e-sukan terutama FIFA ramai bakat baru boleh dicari dalam kalangan anak muda. Penyertaan kami peroleh sebenarnya lebih daripada kuota 256 orang.

“Ini menunjukkan sambutan sangat meriah bagi komuniti ‘gamer’ di utara tanah air. Kami juga ada tampilkan kelainan dengan kolaborasi bersama Razer Malaysia,” katanya.

Katanya, tujuan lain kejohanan ini untuk memberi laluan kepada pemain bersiap sedia mewakili Pulau Pinang untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dalam kategori e-sukan.

Selain hadiah wang tunai, pemenang turut memenangi perkakasan dikhususkan untuk aktiviti ‘gaming’ seperti fon kepala, tetikus dan papan kekunci.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 6:32 AM