Agensi

Keindahan cahaya lampu berwarna-warni dari ketinggian 500 meter menjadikan jambatan kaca di bandar Qingyuan, wilayah Guangdong sebagai antara tarikan terbaik dunia.

Huangtengxia Tianmen Sky Walk yang dibuka secara rasmi pada 5 Jun lalu mempunyai bentuk unik seperti raket badmonton dan menelan kos pembinaan AS$268 juta (RM1.123 bilion).

Namun, ada juga yang menggelarnya sebagai tandas gergasi kerana bentuknya selain air terjun buatan yang apabila dialirkan air, seperti ketika tandas dipam.

Jambatan itu mempunyai laluan sepanjang 168 meter serta pelantar peninjau membolehkan pengunjung menikmati pemandangan menakjubkan lokasi eko-pelancongan, Huangteng Gorge dan air terjun yang popular dengan aktiviti berkayak.

MENJADI lokasi pertunjukan fesyen apabila jambatan kaca itu menjadi pentas peragaan, baru-baru ini
MENJADI lokasi pertunjukan fesyen apabila jambatan kaca itu menjadi pentas peragaan, baru-baru ini

Sebanyak 450 muncung pancuran air dan 2,000 lampu elektronik dipasang mengelilingi pelantar peninjau itu, sekali gus menjadikannya sebagai bulatan air terjun berirama terbesar dunia dengan bayaran masuk hanya 138 yuan (RM82).

Akhir bulan lalu, jambatan kaca itu bertukar menjadi pentas peragaan acara pertunjukan fesyen pertama disertai puluhan model menggayakan koleksi pakaian terbaharu.

Menurut portal berita iFeng, model terbabit memperaga pakaian dengan hanya berkaki ayam bagi mengelak jambatan itu rosak atau bercalar.

“Pentas peragaan itu seperti tergantung di udara. Walaupun ia mempunyai pemandangan indah dan menghirup udara segar di atas, ia masih menakutkan kerana berada pada ketinggian 500 meter.

“Saya langsung tidak berani memandang ke bawah. Agak sukar untuk mengatasi rasa takut ketika berusaha melakukan peragaan dengan sempurna,” kata seorang model dikenali sebagai Wang.

Jambatan kaca Huangtengxia itu kini diberi taraf 4A dalam Kategori Rating Tarikan Pelancongan China iaitu sistem digunakan pihak berkuasa dalam menentukan kualiti sesebuah lokasi pelancongan.

BEBERAPA pengunjung menaiki tangga untuk ke jambatan kaca menyaksikan
BEBERAPA pengunjung menaiki tangga untuk ke jambatan kaca menyaksikan

Ia diukur berdasarkan ciri keselamatan, kebersihan dan kemudahan pengangkutan disediakan.

Lokasi ekopelancongan di kawasan itu menerima lebih sejuta pengunjung untuk menyertai aktiviti berkayak setiap tahun dan lebih 13,000 pelancong berkunjung ke situ setiap hari pada musim panas bermula Julai hingga Ogos, lapor Singa Guangdong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:32 AM