LALUAN sangat mencabar perlu dilalui Akmar dan anaknya ketika mendaki.
LALUAN sangat mencabar perlu dilalui Akmar dan anaknya ketika mendaki.
Nurul Husna Mahmud

PEMINAT sukan pendakian seperti Akmar Ashaari dan pasangannya Wan Nor Hizny Wan Yusoff tidak pernah memaksa tiga anak mereka menjejaki minat mereka dalam sukan terbabit.

Sebaliknya penjawat awam berusia 39 tahun ini dan pasangannya bijak menarik minat menerusi penceritaan pengalaman selain gambar mahupun video ketika pendakian mereka.

Kata Akmar, biarpun tidak dapat menolak persepsi segelintir ibu bapa yang menyifatkan aktiviti mendaki gunung terlalu ekstrem untuk anak kecil tetapi ia jauh lebih baik daripada membiarkan anak-anak leka dengan gajet.

HUBUNGAN dengan saudara juga rapat.
HUBUNGAN dengan saudara juga rapat.

“Anak-anak zaman teknologi kini lebih cenderung meluangkan masa dengan gajet dan peralatan elektronik menyebabkan banyak masa berkualiti bersama keluarga terbazir begitu sahaja.

“Menerusi aktiviti luar ini, kemesraan dan ikatan kekeluargaan dapat dipulihkan.

“Kaedah saya bersama isteri ialah semaikan dahulu minat mahupun keinginan mereka untuk menyertai aktiviti mendaki dan bukan secara paksaan.

“Saya berkongsi gambar dan video keindahan pemandangan dari puncak bukit atau gunung.

“Saya tunjuk juga foto memaparkan gelagat dan wajah kegembiraan kumpulan pendaki selepas berjaya menawan puncak.

“Tidak lupa saya dan isteri sentiasa cerita kepada anak-anak betapa seronoknya aktiviti mendaki ini ketika bersama mereka.

“Sekarang semua anak sudah mengikuti kami mendaki,” katanya.

Sebalik keseronokan mendaki bersama keluarga, Akmar tidak pernah lupa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan ketika pendakian terutama buat anak-anaknya.

“Berdasarkan pengalaman sendiri pendakian tengah malam Gunung Irau sebaik hujan antara pengalaman tidak boleh dilupai.

“Bayangkan keseluruhan laluan gelap gelita, basah, kotor, lecak dan suhu turun mendadak sehingga bawah 10 darjah Celsius ketika itu.

“Namun kami berjaya menawan puncak dengan bekalan, latihan dan ubat-ubatan mencukupi.

“Tidak cukup dengan itu insiden tanah runtuh juga berlaku dan mujurlah kumpulan pendaki kami selamat melepasi laluan berkenaan.

“Melihat segala aspek termasuklah risiko atau insiden luar jangka yang boleh berlaku, saya akan pastikan aspek keselamatan kawasan itu sebelum membawa mereka.

“Walaupun bukit biasa mereka tetap dilengkapi dengan kasut, pakaian, bekalan makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Sementara itu Aelisya Ierdina Akmar, 9, anak kedua kepada pasangan itu berkata dia sudah mula mendaki sejak usia lima tahun lagi kerana minat.

WAKTU kualiti keluarga dengan mendaki.
WAKTU kualiti keluarga dengan mendaki.

Malah bukan dia sendiri, sebaliknya disertai dua saudara lain iaitu Naylie Ierdina, 13, dan Elmyra Ierdina, 6, sudah mula terjebak dalam aktiviti berkenaan sejak menemani ibu mereka menjayakan siri latihan pendakian menakluk Gunung Kinabalu tahun lalu.

“Biasanya kami akan mendaki satu hingga tiga kali sebulan di lokasi sekitar Lembah Klang. Untuk gunung yang lebih rumit dan memerlukan persiapan rapi, sebaiknya ibu bapa menabung setiap bulan untuk mengikuti satu-satu ekspedisi.

“Ketika ini misi saya ialah menakluki Gunung Kinabalu kerana dua orang tua saya sudah berjaya.

“Selain gunung tertinggi di Malaysia, saya mengidamkan pengalaman menawan gunung yang dilitupi salji.

“Gunung Everest antara yang menjadi impian tetapi saya masih terlalu muda.

“Kalau di Eropah, Mont Blanc di Perancis berada paling atas di dalam senarai kerana kecantikan puncak serta panorama sekitarnya sentiasa menjadi igauan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 3:45 AM