MERAIKAN kejayaan di Puncak Gunung Semeru
MERAIKAN kejayaan di Puncak Gunung Semeru
Hafiz Ithnin


Gunung Semeru di Surabaya, Indonesia bukan satu nama asing dalam kalangan pendaki tempatan yang gemar meneroka khazanah pergunungan di luar negara.

Biasanya barisan pendaki yang mendaki ke gunung berketinggian 3,676 meter dari aras laut itu terdiri daripada golongan bekerja atau pelajar universiti.

Kali ini, gunung tertinggi di Kepulauan Jawa itu ditawan seramai 47 pendaki majoritinya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari (SOC) yang juga anak angkat kepada Persatuan Kembara Negara (PKN).

Bukan mudah untuk menawan puncak gunung berkenaan memandangkan dari hari pertama lagi mereka sudah berdepan cabaran menjadi pengembara ala ‘hitch hike.’

Keadaan jalan kampung yang rosak tidak mengizinkan mereka untuk meneruskan perjalanan ke Desa Ranupane kerana memerlukan bantuan motosikal penduduk kampung ke lokasi inap desa untuk bermalam dan keadaan hujan.

LALUAN sukar menuju ke puncak Semeru.
LALUAN sukar menuju ke puncak Semeru.

Jiwa anak muda yang masih kental itu tidak mudah lusuh meskipun berdepan situasi berkenaan.

Hakikatnya, mendaki Gunung Semeru lebih menguji mental terutama ketika ingin meneruskan pendakian ke puncaknya dari kem terakhirnya, Kem Kali Mati.

Pendakian yang bermula di pintu Taman Nesional Bromo Tengger Semeru pada 7 Disember lalu untuk menuju ke Kem Kali Mati sejauh sembilan jam perjalanan merentasi pelbagai panorama indah.

Kedengaran sembilan jam perjalanan itu seakan jauh, tapi seperti diceritakan kembali, melalui Tasik Ranu Kumbolo yang terletak di pertengahan jalan sememangnya memukau pandangan setiap pendaki.

Selepas melalui tasik berkenaan, terdapat sebuah bukit kecil yang perlu dilalui dan ia dikenali sebagai Bukit Tanjakan Cinta dengan panorama indah sepanjang pendakian.

PESERTA pendakian menyiapkan sarapan pagi di Kem Tasik Ranu Kumbolo
PESERTA pendakian menyiapkan sarapan pagi di Kem Tasik Ranu Kumbolo

Bunga liar di bawah bukit berwarna ungu seakan lavender memukau mata.

Sekitar jam 7.30 malam, semua pelajar SOC tiba di Kem Kali Mati untuk berehat selepas berjalan dan mendaki sejauh kira-kira 20 kilometer (km).

Seterusnya sekitar jam 12.30 tengah malam, semua peserta bersedia untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Semeru iaitui lokasi sebenar menguji kekuatan mental dan fizikal.

Laluan berpasir gunung berapi yang mempunyai kecuraman 70 darjah dan angin kuat menghembus laluan menjadikan suhu persekitaran mencecah empat darjah Celcius.

Tempoh masa tujuh jam menuju ke puncak Gunung Semeru bukan sesuatu perkara yang mudah dan apabil semua peserta tiba di puncak pada jam 7.30 pagi, tiada kata-kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan kepuasan menawan puncak berkenaan.

Lebih membanggakan SOC menjadi barisan pelajar teramai dari Malaysia yang menawan puncak Gunung Semeru!

Penasihat Kelab SOC, Noraizam Sulaiman berkata, walaupun SOC baru berusia tiga tahun, pelbagai program rekreasi terutama aktiviti pergunungan berjaya dilakar bukan sahaja dalam negara malah bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, SOC berjaya membentuk peribadi yang tahan lasak dan jiwa seorang pemimpin kerana aktiviti pendakian gunung serta rekreasi yang kami bentuk memberi manfaat kepada sekolah dan ibu bapa.

“Aktiviti pendakian ini bukan sahaja mencerminkan kemampuan pelajar di Malaysia, malah ia menjadi platform membentuk sahsiah lebih berdisiplin dan kerjasama utuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 12:31 PM