SAJIAN lazat dari selatan tanah air.
SAJIAN lazat dari selatan tanah air.
Aniza Zainudin

Dinobatkan juara pertandingan makanan Asean Food War 2015 anjuran Asian Food Channel (AFC) bagi menu asam pedas, kelazatan variasi hidangan popular dari selatan tanah air di restoran D’Cengkih sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Pemiliknya, Halifah Jaafar berkata, D’Cengkih menyediakan pelbagai sajian unik dan istimewa dari Johor seperti nasi ambeng, lontong, soto, mi rebus, asam pedas, laksa Johor, serawa durian, kuih muih termasuk lopes, abok-abok, lepat dan lempeng pisang serta ubi.

LAKSA johor antara menu pilihan.
LAKSA johor antara menu pilihan.

“Impian saya memartabat dan memperkenalkan makanan asli Malaysia ke mata dunia. Kemenangan kami dalam Asean Food War itu, satu daripada jalan diatur-Nya.

“Selain muncul di kaca televisyen dan terkini, menerima jemputan bagi program masakan, saya bersyukur apabila impian itu kian menjadi realiti apabila D’Cengkih turut dipromosikan dalam majalah berbahasa Jepun.

“Kami bukan saja berjaya menarik selera rakyat tempatan mahupun golongan kenamaan, bahkan menu asli Malaysia menepati cita rasa masyarakat antarabangsa seperti warga Korea dan Jepun,” katanya ketika ditemui di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Berkongsi kelazatan hidangannya, Halifah mengakui kualiti ramuan dan gaya masakan tidak pernah berubah sejak mereka memulakan operasi 10 tahun lalu.

LEMPENG pisang berangan.
LEMPENG pisang berangan.

Mencungkil rahsia menyediakan menu mi rebus, Halifah mengekalkan resipi asli ibu dengan menambah perasa menggunakan keropok dipanggil penaram.

Katanya, penaram dibuat daripada tepung gandum bersama telur dan bawang merah yang kemudian digoreng.

Kuahnya pula dihasilkan daripada udang kering, udang geragau, udang segar, bawang putih, bawang merah, halia, cili kering dan rempah ratus termasuk bunga cengkih, kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.

Bagi menambah keenakan kuah mi rebus, Halifah turut menggunakan air rebusan daging tetel, santan, sos tomato, taucu, keledek dikisar halus, gula, garam, kicap manis serta air asam.

MI rebus dihasilkan mengikut resipi tradisi.
MI rebus dihasilkan mengikut resipi tradisi.

Bagi pencuci mulut popularnya, kuih lopes, wanita itu berkata, ia dibuat daripada pulut susu yang direndam semalaman menggunakan air kapur.

“Pulut ditoskan sebelum dibungkus menggunakan kelongsong daun pisang berbentuk segi tiga.

“Bagi membentuk kelongsong kuih lopes, ia memerlukan kemahiran kerana seharusnya tidak mempunyai lubang kecil hingga membuatkan bentuknya kurang cantik.

“Kemudian, kelongsong berisi pulut ini akan direbus dalam tempoh tertentu. Ketika menjamu selera, kuih lopes akan dihidangkan bersama sira air gula Melaka, garam dan kelapa parut,” jelasnya.

D’Cengkih beroperasi setiap hari kecuali Isnin, seawal jam 7 pagi hingga 6.30 petang.

KUIH lopes adalah kuih-muih kegemaran ramai.
KUIH lopes adalah kuih-muih kegemaran ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:08 AM