VISUAL keindahan The Face Platinum oleh GDP Architects.
VISUAL keindahan The Face Platinum oleh GDP Architects.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) meraikan sambutan Hari Senibina Sedunia bersama arkitek di seluruh dunia.

Kali ini, tema Ke Arah Masa Depan Bandar yang Lebih Baik menjadi pilihan untuk meraikan sambutan berkenaan.

Ia turut diraikan dengan sambutan Hari Habitat Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa tema sama iaitu Perumahan Untuk Semua: Masa Depan Bandar yang Lebih Baik.

Kata kunci sambutan kali ini ialah Masa Depan Bandar yang Lebih Baik menunjukkan bahawa arkitek sememangnya berada dalam kedudukan penting untuk mewujudkan masa depan lebih baik.

Begitupun, dengan keadaan pandemik yang mendorong revolusi dalam pekerjaan mahu pun kehidupan seharian, arkitek perlu peka terhadap perubahan berkenaan.

Tetapi persoalannya, mengapa pentingnya kehidupan bandar ketika berdepan peningkatan kes pandemik hari ini?

Jawapannya, ia terletak pada keperluan sederhana manusia iaitu untuk saling berhubung.

Selain itu, laporan Prospek Urbanisasi Dunia PBB turut menyarankan bahawa pentingnya pertumbuhan bandar yang dikendalikan dengan baik untuk mencapai pembangunan lestari dalam tiga bidang utama iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Presiden PAM, Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, pandemik Covid-19 bukan yang pertama dan tidak akan menjadi wabak terakhir di dunia.

MENARA Nukleus.
MENARA Nukleus.

Namun, kata beliau, manusia adalah makhluk yang tangkas dan sangat adaptif.

"Meskipun berhadapan beberapa pandemik dalam dekad yang lalu, wujudnya peningkatan kemampuan manusia untuk mengatasi masalah itu berbanding ketika berdepan wabak terbesar dan terburuk pada awal abad ke-20 iaitu Spanish Flu yang meragut hampir 50 juta nyawa.

"Ringkasnya, ketika merancang untuk pembangunan masa depan, tumpuan perlu diberi kepada manusia dan bumi bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

"Apapun, pandemik ini membantu mengingatkan semua akan kerapuhan planet kita dan wabak ini tidak akan sesekali menjadi faktor penentunya," katanya.

Dalam pada itu, pembentukan pusat bandar akan terus menarik orang ramai ke bandar kerana mereka mencari persekitaran budaya dan sosial yang rancak untuk memupuk kreativiti selain menawarkan lebih banyak peluang serta memacu inovasi.

Justeru, dalam mereka ruang untuk masa depan lebih baik, ia perlu dimanfaatkan bersama kelebihan kehidupan di bandar.

Ia termasuk seperti kemudahan infrastruktur lebih baik, sambungan berkelajuan tinggi dan jaringan pengangkutan.

Oleh itu, semua arkitek bukan hanya diingatkan untuk berwaspada dengan virus tersembunyi itu, tetapi gambaran lebih besar mengenai keperluan manusia iaitu untuk berhubung dan bersosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 7:01 AM